Penipuan dikesan, SISMEP akan digunakan

April 17, 2007

Oleh Ahmad Zaki Yamani

Penggunaan Sistem Maklumat Pilihanraya (SISMEP) secara praktikal akan benar-benar diuji di Pilihanraya Kecil Ijok. SISMEP yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Pilihanraya Pusat keADILan di bawah pimpinan Azmin Ali akan digunakan secara meluas di Ijok.

Sistem ini apabila dilaksanakan akan dapat mengesan pelbagai taktik kotor BN untuk membuat penipuan pilihanraya.

Beberapa data Pilihanraya Umum 2004 bagi DUN Ijok yang diperolehi daripada SISMEP benar-benar menarik perhatian dan menuntut kita berfikir.

  1. Di Daerah Mengundi Jaya Setia, keADILan menang dengan kelebihan 50 undi. Angka genap begini sebenarnya menimbulkan persoalan. Tambahan pula di Saluran 1, keADILan menang dengan 30 undi dan di Saluran 2 dengan 20 undi. Bagaimana kemenangan dengan undi genap begini dan di Saluran 1 lebih baik sedangkan di daerah-daerah lain, prestasi keADILan di Saluran 2 (orang muda) adalah lebih baik.
  2. Di Daerah Mengundi Bukit Badong, BN mendapat 150 undi di kedua-dua saluran 1 dan 2.

Saya kira kita perlu memberi penelitian yang tekun terhadap keputusan-keputusan dengan angka yang terlalu cantik ini.

Justeru salah satu misi utama keADILan ialah untuk memastikan adanya pasukan PACA (Polling Agent, Counting Agent) yang mantap bagi mengesan dan menghalang cubaan-cubaan membuat penipuan semasa pengiraan undi.

Pada masa yang sama, mungkin kita perlu pasukan pemusnah hantu untuk menghalang pengundi-pengundi hantu daripada berleluasa di Ijok.


Ezam akan kempen di Ijok

April 17, 2007

foto_ezam3.jpgPengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK), Ezam Mohd Nor telah mengesahkan bahawa beliau akan turun padang berkempen kepada pengundi di Ijok agar memberikan sokongan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Saya akan berkempen untuk memastikan rakyat tahu dan sedar apa yang menjadi pilihan mereka. Pengundi di Ijok perlu tahu bahawa jika mereka mengundi BN, maka mereka memberi sokongan dan merelakan rasuah dan korupsi.

“Rakyat perlu tahu bahawa setiap undi yang mereka berikan kepada calon BN bermakna mereka merelakan kekayaan negara dirompak dan diselewengkan,” kata Ezam apabila dihubungi oleh Ijok2007.

Beliau menganggap tidak ada sebab untuk pengundi di Ijok tidak memberikan sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tan Sri Khalid ialah seorang tokoh yang berkaliber. Beliau adalah anak tempatan yang membesar di Kuala Selangor dan menjadi kebanggaan masyarakat di sana. Kejayaan-kejayaan beliau selama ini memimpin syarikat-syarikat korporat menjadi bukti akan kemampuan dan keupayaan beliau.

“Kerana itu pengundi di Ijok perlu memberikan mesej jelas bahawa mereka mahukan Tan Sri Khalid bukan sekadar sebagai wakil rakyat, sebagai ADUN Ijok, malah sebagai bakal Menteri Besar Selangor,” jelas Ezam.


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

April 17, 2007

tsk.jpgtsk-2.jpg

Abdul Khalid Ibrahim dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram, Batu 20, Kuala Selangor dan merupakan anak watan kebanggaan penduduk di kawasan tersebut.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeram sekitar awal 1950an dan menduduki peperiksaan Special Malay Class. Khalid Ibrahim seterusnya menyambung pelajaran di sekolah Inggeris di Kampung Kuantan.

Beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dan lulus cemerlang dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi. Khalid Ibrahim kemudian memperolehi Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Queensland, Australia.

Khalid Ibrahim, anak jati Kuala Selangor, kini adalah Pengerusi Dana Amanah Millenia Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah Sirim Berhad. Beliau juga dilantik sebagai penasihat Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah.

Beliau adalah Ahli Lembaga, Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Ahli Kehormat Majlis Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Bekas guru dan pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi ini pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).

Di PNB, beliau adalah antara tenaga utama yang menjayakan Skim Amanah Saham Nasional dan kemudiannya Amanah Saham Bumiputra sehingga mampu memberikan pulangan yang baik kepada pelabur. Skim ini kemudiannya diperkembangkan kepada seluruh rakyat malaysia melalui pelbagai tabung lain.

Penduduk Kuala Selangor sering mengingati jasa Khalid Ibrahim yang mengusahakan pembinaan Pusat Latihan Penyelenggaraan Jentera Perindustrian dengan kerjasama UMW Berhad di Kuala Selangor. Pusat tersebut telah membantu memberi latihan kepada remaja miskin dari kawasan sekitar termasuk Ijok, sebelum diserapkan sebagai tenaga kerja di UMW Berhad. Pusat tersebut mula beroperasi dari tahun 1994 sehingga kini.

Khalid Ibrahim juga memperkenalkan Program Rakan Jaya Diri yang khusus untuk melatih pelajar-pelajar yang tercicir dari persekolahan. Mereka diberi peluang latihan dalam kerja di Guthrie Berhad dan diajar kemahiran komunikasi dan kemahiran asas pejabat bagi memudahkan mereka diserapkan berkerja di mana-mana syarikat.

Kedua-dua program ini memberi sumbangan bermakna kepada meningkatkan taraf kehidupan penduduk sekitar Kuala Selangor termasuk Ijok.

Atas kesedaran bahawa negara dan negeri Selangor sendiri berada di dalam keadaan yang parah akibat penyelewengan, korupsi dan salahguna kuasa yang berleluasa; Khalid Ibrahim mengambil keputusan bahawa keadaan mesti diperbetulkan melalui perubahan politik.

Kerana itu, Khalid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2006 dan dilantik sebagai Bendahari Agung dan kemudiannya Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor. Pada tahun 2007, beliau telah dipilih sebulat suara oleh ahli-ahli parti di Bahagian Kuala Selangor sebagai Ketua Bahagian.

Usaha menaikkan taraf hidup rakyat dan pendidikan anak-anak muda adalah keutamaan Khalid Ibrahim. Pengalaman beliau sendiri yang membesar di dalam suasana kampung di Kuala Selangor, membolehkan Khalid Ibrahim memahami kepentingan pendidikan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Ijok, beliau akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk Ijok dengan memperkenalkan program-program ekonomi dan sosial, dengan penekanan khusus kepada maju diri dan pendidikan belia — supaya Ijok dan seluruh warganya menjadi contoh kepada negeri Selangor dan seluruh Malaysia.

Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan beliau, Khalid Ibrahim yakin akan dapat memainkan peranan berkesan, dengan sokongan rakyat, untuk menjayakan misi ini.


RASMI: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim calon keADILan di Ijok

April 17, 2007

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat pengumuman rasmi di hadapan lebih 5 ribu orang yang berhimpun di tapak pasar malam Batang Berjuntai, berdekatan Bilik Gerakan keADILan di Batang Berjuntai bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah calon keADILan bagi Pilihanraya Kecil DUN N.11 Ijok.

Beliau meminta seluruh jentera dan penyokong parti untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan keADILAn dan merayu setiap pengundi di Ijok untuk keluar mengundi dan memberikan kepercayaan kepada Khalid Ibrahim untuk menjadi wakil mereka.


Gerak kerja keADILan di Ijok

April 17, 2007

Parti Keadilan Rakyat telah menyusun pelbagai program untuk menyampaikan mesej kepada pengundi di Ijok mengenai pilihan sebenar yang dihadapi mereka. Wanita, Angkatan Muda, Bahagian-Bahagian di Kuala Selangor dan Negeri-negeri dari seluruh Malaysia akan menjalankan usaha ini secara tersusun.

Sekiranya rakyat tahu hakikat mengenai calon dan parti yang bertanding, maka mereka sudah tentu tidak akan memilih parti yang dipenuhi korupsi.

Angkatan Muda keADILan dengan diketuai oleh Shamsul Iskandar Akin telah memulakan gerak pertama pada 15 April lalu dengan pelancaran Skuad Angkatan Muda dan Jentera Pilihanraya Angkatan Muda di Ijok. Ikuti blog beliau: Suara Anak Muda.

skuad-amk.jpg


Ijok sesak untuk pengumuman

April 17, 2007

Sebentar lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat pengumuman rasmi calon keADILan di Pilihanraya Kecil Ijok.

Keadaan di Pekan Ijok dan Batang Berjuntai kini sesak dengan ribuan kenderaan. Keadaan lebih diburukkan kerana projek-projek segera membaiki jalan sedang dijalankan oleh JKR dari seluruh negara.

Pengumuman akan dibuat di Bilik Gerakan keADILan Batang Berjuntai.

9.55 pm

Sudah lebih 5 ribu orang berkumpul di tapak pasar malam Batang Berjuntai untuk mendengar pengumuman calon keADILan di Ijok oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sambutan adalah amat menggalakkan termasuk daripada masyarakat Tionghua dan India.


Pujuk dan Ugut di Ijok

April 17, 2007

Oleh Kamarul Baharin Abbas

Mula-mula Batu Talam, kemudian Machap, dan kini ke Ijok. Sesungguhnya, ada rasionalnya mengapa pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam. Sudah tentu ada perkiraannya juga mengapa DAP perlu bertanding di Machap. Dan kini, bukan calang-calang, Keadilan akan turun dan berkampung di Ijok.

Umum sudah jelas, bahawa Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) telah memilih jalan pilihanraya sebagai cara paling bertanggungjawab untuk menekankan perubahan yang wajib dalam negara ini. Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas, beliau segera berusaha dan bekerja memantapkan parti untuk menghadap proses demokrasi.

Namun, dalam proses mengamal demokrasi, hak berdemontrasi tidak pula dinafikan oleh Keadilan. Cuma tumpuan ke hadapan adalah pilihanraya, bukan lagi pilihan jalan raya, setelah kita melewati period baru perjuangan yang lebih teratur dan tidak berdasarkan sentimen.

Pilihanraya Kecil Ijok merupakan kesempatan kali ke tiga, dan barangkali juga yang terakhir sebelum kita berhadapan dengan Pilihanraya Umum. Di mata kita, tidak ada bezanya sama ada Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya daripada MIC, MCA, apatah lagi Umno di Ijok.

Batu Talam, pembangkang memutuskan untuk baikot dan tidak bertanding, dan kesannya cukup jelas. Bahkan, laporan penipuan pilihanraya yang dibuat oleh Biro Pilihanraya Keadilan yang diketuai Naib Presiden, Azmin Ali, tetap telah impak. Setidak-tidaknya, diperingkat antarabangsa, Perdana Menteri Abdullah Badawi tidak boleh lagi mendabik dada sebagai tokoh negarawan Islam antarabangsa kerana beliau tidak memperdulikan tuntutan rakyat supaya mengamalkan ketulusan dalam pentadbiran negara. Abdullah juga bukan seratus peratus ‘mulia’ selagi beliau masih belum serius menyiasat skandal yang melibatkan penipuan kad pengenalan kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah yang bertujuan memberi hak kepada mereka untuk menyelamatkan BN pada setiap kali pilihanraya.

Dalam tempoh terdekat juga, satu kumpulan parti-parti politik bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan satu badan pemantau, yang dikenali Badan Pilihanraya Adil dan Bebas (Bersih) bagi memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap telus dan tidak terus ditunggang BN.

Di Machap juga, buat pertama kalinya, sebuah badan pemantau pilihanraya yang dikenali sebagai Malaysian Free and Fair Election (Mafrel) diberi izin memantau pilihanraya kecil berkenaan. Pendapat awal sudah mendorong kepada berlakunya salahguna jentera dan khazanah kerajaan bagi membantu calon.

Kita dapat lihat di dalam keputusan di DUN Machap, bukan sahaja majoriti BN merosot, tetapi undi popular kepada calon MCA itu jatuh sebanyak 314 undi daripada 5,847 pada tahun 2004 kepada 5,533 dengan jumlah keluar mengundi masih di atas paras lebih 74 peratus. Pencapaian ini secara langsung menggambarkankan bahawa pengundi tidak semudah boleh dipengaruhi dengan rasuah dan janji-janji manis BN. Dalam konteks Machap yang dianggap sebagai kubu BN di ‘negeri keris berkarat’, perubahan undi popular itu tentunya memberi petanda baik untuk pembangkang, khususnya Keadilan untuk bertapak di Ijuk.

BN akan meraih sokongan dengan cara paling tidak bermaruah, iaitu menabur wang. Cara ini juga sekaligus adalah sebahagian daripada memperlekeh bukan sahaja undang-undang, tetapi juga mempersenda kebijaksanaan dan kebebasan rakyat untuk memilih parti dengan fikiran waras. Dalam dunia hari ini, hanya masyarakat yang mundur mentalitinya sahaja yang akan memilih parti dan pemimpin berdasarkan rasuah pilihanraya, dan mengenepikan kewarasan berfikir.

Pada 12 April lalu, DAP membuat laporan polis apabila mendapat perkhabaran bagaimana BN membeli pengundi dengan membayar wang tunai RM200 seorang. Betapa jijiknya mainan politik ini, dan betapa di mata pemimpin BN, harga diri pengundi begitu murah sekali. Baca sahaja berita bagaimana ada seorang pengundi berketurunan India yang khabarnya mengunakan wang tersebut hanya untuk menikmati makan malam KFC, sedangkan harta kekayaan negara yang dirompak pemimpin elit BN seolah-olah boleh menyara tujuh keturunan mereka tanpa bekerja!

BN dijangka akan terus cuba memukau orang kampung dengan menabur peruntukan berjuta-juta ringgit yang akan diluluskan di Ijok nanti, seperti berlaku di Machang. Jalan-jalan estate dan ladang akan diperbaiki, saluran peparitan akan dibersihkan, jalan raya akan diturap sertamerta. Sebenarnya kerja-kerja ini adalah janji-jani yang dibuat pada pilihanraya umum 2004 yang lalu, seperti janji Khir Toyo yang akan sering melawat selepas BN menang di Ijok. Memang rahmat bagi penduduk Ijok, pilihanraya kecil ini akan memaksa BN menunaikan janji-janji mereka. Muka-muka hipokrit BN tetap akan membuat pelbagai janji lagi.

Timbalan Perdana Menteri boleh secara tiba-tiba meluluskan peruntukan sejumlah RM3.7 juta kepada Felda Tun Ghafar Baba Hutan Percha di Macang tatkala tempoh kempen, maka tidak mustahil di Ijok nanti, Najib juga akan meluluskan jutaan ringgit untuk apa jua tujuan sekalipun. Mungkin, beliau akan membuka gugusan felda yang baru di Ijok, dan membina kawasan rekrasi untuk petani, peladang dan binatang-binatang liar dan ternakkan. Apa kah ini akan memberi kemenangan yang besar kepada BN? Nyata di Machang, BN tidak langsung dapat pertingkatkan majoriti kemenangan.

Selepas melalui sekurang-kurangnya dua Pilihanraya Umum, Keadilan kini cukup berpengalaman dalam berhadapan segala taktik kotor Umno-BN, daripada memeras ugut sampailah ke kalangan petugas Keadilan dibelasah sehingga rabak kepala. Demi itu jualah, Ijok segera membawa ingatan kita kepada kenangan manis di Lunas, Kedah pada tahun 2000. Sekalipun kali ini bukan untuk mengenepikan majoriti dua per tiga kerusi BN di Dewan Undangan Negeri Selangor, tetapi kejayaan sesungguhnya akan lebih bermakna sebagai permulaan kepada pertukaran pemerintahan negeri kepada sebuah parti yang nekat membawa perubahan.

Ayuh, ramai-ramai turun Ijok!


Pengundi di Ijok perlu diingatkan supaya jangan sampai tertipu.

April 17, 2007

[SURAT PEMBACA]

Anda tidak perlu berada di Machap selama piliharaya kecil DUN berlangsung di sana baru-baru ini untuk mengetahui bahawa wang rakyat dan kemudahan kerajaan telah dipergunakan secara tidak adil dan tidak bertanggungjawab demi melaksanakan kempen BN.

Penipuan rakyat itu dengan tiada segan silu lagi diporkan dengan jeasnya di muka televisyen di rumah kita.

Selain terdapat banyak bukti tentang amalan rasuah dan perbuatan membeli undi dilakukan – dan pihak berkuasa sebagaimana biasa menafikannya tanpa dapat meyakinkan kita – dengan tiba-tiba hampir semua para menteri kabinet negara telah memutuskan untuk menjalankan tugas-tugas rasmi mereka di Machap.

Dari projek-projek pelancongan dalam rangka “Tahun Melawat Malaysia” hinggalah kepada upacara pecah tanah beberapa masjid dan surau dan dewan orang ramai semuanya dilakukan dalam jangka waktu singkat selama kempen pilihanraya kecil itu berjalan.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, telah menimbulkan perkara tersebut di Parlimen. Persoalannya ialah: Mengapakan projek-projek pembangunan untuk rakyat kelihatan seolah-olah akan dilancarkan atau diumumkan sebagai akan dilancarkan hanya pada waktu pilihanraya kecil sahaja? Apakah tidak akan ada pembangunan jika tidak ada piiharaya kecil?

Selain itu, jika para menteri sudah berkampung di kawasan pilihanraya itu, maka pastilah mereka akan diiringi oleh para pegawai kerajaan. Yang menariknya (atau lebih tepat lagi yang menyedikan) kali ini ialah hakikat bahawa para Timbalan Naib Canselor (HEP) universiti-universiti awam kita turut diperalatkan oleh Menteri Pengajian Tinggi untuk kerja-kerja kempen BN.

Semua penyelewengan ini sebenarnya telah diadukan kepada Suruhanjaya Pilihanraya. Tetapi apakah reaksi mereka? Sebagaimana biasa, kita mendapat jawapan bodoh yang sekadar berselindung di sebalik “technicality” undang-undang yang mereka adakan sendiri.

Mereka tidak menafikan bahawa terdapat amalan rasuah kewangan dan janji-janji pembangunan, tetapi mereka tidak dapat mentakrif amalan tersebut sebagai termasuk dalam biang kuasa mereka atau secara undang-undang boleh ditakrifkan sebagai perbuatan membeli undi.

Amalan jijik jentera pilihanraya BN yang berkuasa tinggi di Machap itu baru sahaja berlalu – masih segar dalam ingatan kita. Oleh kerana peristiwa yang sama sudah pasti akan diulang lagi dalam pilihanraya kecil DUN Ijok tidak lama lagi, maka wajarlah rasanya kita mengingatkan para pengundi di Ijok supaya jangan membiarkan diri mereka diperbodohkan.

Ingatah bahawa menggunakan hak mengudi anda dalam sistem demokrasi itu merupakan tanggungjawab yang amat penting, bukan sekadar untuk mendapat projek-projek tergesa-gesa dan tangkap muat sifatya – atau untuk memperoleh wang tunai RM50, atau malah RM200.

Yang kita harapkan daripada hak mengundi itu ialah terbentuknya pentadbiran yang cekap lagi bersih, dan terpilihnya seorang wakil rakyat yang berkebolehan, berhemah tinggi dan mempunyai iltizam membela rakyat yang tertindas.

Namun demikian, jika pilihanraya yang tidak bersih ini membawa beberapa manfaat jangka pendek yag tidak wajar (yakni bersifat rasuah dan membeli undi) maka rakyat tidaklah bersalah untuk menikmatinya. Namun demikian, selalulah ingat bahawa undi kita adalah hak kita yang luhur di bawah sistem demokrasi.

Tidak ada siapa yang boleh memesongkan kita daripada pendirian dan pilihan yang telah kita tentukan sendiri – walau berapa lumayan sekalipun rasuah yang disogokkan atau betapa banyak projek pembangunan palsu yang dijanjikan kepada kita. Undi kita, kuasa kita!

Rakan Rakyat,

Kuala Selangor.


Najib, Khir Toyo pukul canang lawan Khalid Ibrahim di Ijok

April 17, 2007

KUALA LUMPUR, 16 April (Hrkh) – Walaupun proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Ijok akan diadakan 19 April ini (Khamis), namun Barisan Nasional (BN) yang dilihat bimbang dengan senario sokongan rakyat kepada pembangkang telahpun memulakan persiapan bagi menghadapi KeADILan dan seluruh rakyat di Ijok.

Kebimbangan BN semakin memuncak apabila Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor mengancam meletakkan jawatannya jika tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN). Thirumoorthy, 55, seorang guru sekolah menengah, mendakwa 18 ketua cawangan daripada 36 cawangan MIC di kawasan pilihan raya Ijok itu akan turut meletakkan jawatan bersamanya. Thirumoorthy yang menjadi ketua bahagian sejak 1994, berkata beliau difahamkan calon BN bukan dari kalangan ahli bahagian MIC Kuala Selangor.

Presiden MIC Dato’ Seri S.Samy Vellu dalam satu laporan media menyatakan beliau tidak akan melayan tuntutan Thirumoorthy itu. “Ia adalah hak Presiden MIC untuk memutuskan calon. Pengerusi BN (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) telah meluluskan nama calon. Saya juga memaklumkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo,” katanya pada sidang media di Batang Berjuntai.

Thirumoorthy mendakwa semua usaha kerasnya berkempen untuk calon-calon MIC, kebanyakannya orang dari luar Ijok atau luar Kuala Selangor, sejak beberapa pilihan raya lepas tidak dihargai oleh pucuk pemimpin parti itu. Begitupun krisis dalam MIC tercetus, kebimbangan BN juga dilihat leboih serius apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo telah memukul canang meyakinkan juak-juak BN bahawa mereka bersedia menghadapi jentera KeADILan, kata Ketua Penerangan KeADILan Selangor, Ahmad Zaki Yamani Zainon.

Menurut Ahmad Zaki, Khir Toyo menyatakan secara khusus bahawa BN bersedia menghadapi Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Ijok meskipun KeADILan belum membuat keputusan pasti dan belum mengumumkan calonnya. (Tan Sri Khalid adalah Bendahari KeADILan Pusat dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie selain tokoh Melayu yang banyak berjasa kepada sektor perladangan negara). Beliau (Khir Toyo) juga telah merasmikan upacara pecah tanah penentuan arah kiblat Masjid Ubudiah yang sudah sekian lama dijanjikan kepada penduduk Ijok, kata Ahmad Zaki.

Meriam lebih besar

“Mungkin selepas ini ‘meriam lebih besar’ dari BN akan merasmikan upacara pecah tanah untuk masjid yang sama berkali-kali. Mungkin juga pecah tanah untuk dewan solat, pejabat, tempat wuduk, tandas dan sebagainya akan diasing-asingkan dan dilakukan oleh ‘tokoh-tokoh’ BN yang berlainan,”kata Ahmad Zaki.

Di Batang Berjuntai, pusat pelupusan sampah telah segera ditutup, meskipun sebelum ini penduduk tempatan telah berulang kali membuat bantahan, malah pernah membuat demonstrasi selama sebulan di situ tetapi ia tidak pernah diendahkan, katanya. “Selepas ini puluhan, malah mungkin ratusan juta ringgit akan ditaburkan BN di Ijok. Bukan wang BN, tetapi wang negara. Pelbagai projek akan diumumkan dan dimulakan, meskipun tidak semestinya disiapkan. Perkara ini sudah menjadi rutin kepada mereka yang mengikuti pilihan raya kecil,”katanya.

Wang panas beri kesan kepada pengundi

Hakikatnya kemasukan wang panas ini sebenarnya memberi kesan kepada penduduk setempat dan perkara yang sama akan berlaku kepada pengundi di Ijok, katanya dalam satu komentar mengenai pilihan raya kecil Dun Ijok semalam. Namun katanya BN menerima sedikit tamparan apabila laporan media arus perdana pada 14 April menyiarkan temubual dengan seorang penduduk Ijok yang menyatakan bahawa, “Pembangunan bukan segala-galanya.” “Beliau mahu seorang wakil rakyat yang benar-benar mendampingi rakyat. Terima kasih warga media tersebut kerana menyiarkan sentimen sebenar masyarakat,” katanya.

Justeru, aktivis keADILan dan seluruh Barisan Rakyat memikul peranan besar meyakinkan kesemua 12,272 pengundi di Ijok untuk memilih wakil rakyat dan bukan wakil BN.

Gerak kerja KeADILan siap sedia

Untuk itu keADILan Selangor telah menugaskan setiap Bahagian KeADILan di Negeri Selangor ke daerah-daerah mengundi tertentu bagi memudahkan penyusunan gerak kerja dan penyelarasan, katanya. Di samping itu, bantuan tenaga kerja secara sepenuh masa adalah sangat-sangat diperlukan sekarang dan bukan sekadar lawatan dan rombongan sambil belajar ke Ijok, katanya.

Menurut Ahmad Zaki, keADILan mengalu-alukan bantuan daripada teman-teman PAS, DAP dan aktivis KeADILan dari seluruh negara, dengan bantuan itu perlu disusun secara teratur kerana saiz kawasan Ijok yang kecil dan bagi memastikan tenaga manusia yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya secara optimum. Biro Pilihan Raya Pusat, KeADILan akan memainkan peranan menyelaras petugas dan bantuan dari seluruh negara. Sementara Bilik Gerakan Pilihan Raya KeADILan Selangor yang diketuai Ketua Bahagian Selayang, Abdul Rahim Abdul Wahab akan mengendalikan tenaga kerja dari Selangor dan operasi lapangan apabila petugas dari luar Selangor telah ditugaskan ke daerah mengundi tertentu.

“InsyaAllah dengan sokongan dan bantuan semua, kita akan sekali lagi melakar kejayaan dalam pilihan raya kecil. Percayalah dan doakan,” katanya. Pilihan raya kecil Dun Ijok diadakan berikutan kematian Adunya, Dato’ K.Sivalingham.Proses penamaan calon akan diadakan pada 19 April ini sementara pembuangan undi pada 28 April ini.

Pilihan raya ini dijangka akan menyaksikan calon BN menentang calon KeADILan, dan bebas bagaimanapun kedua-dua parti yang menyatakan hasrat bertanding belum memutuskan nama-nama calonya.

[Dipetik dari Harakahdaily.net]


Pengumuman Calon KeADILan Pilihanraya Kecil Dun Ijok

April 17, 2007

 

Calon KeADILan untuk DUN Ijok

Berikutan Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (KeADILan):

  • Penasihat Parti Dato Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan calon Pilihanraya Kecil Dun Ijok
  • pada 17 April 2007,
  • pada jam 8:30 malam.

Pengumuman itu akan dilaksanakan di

  • Bilik Gerakan KeADILan Batang Berjuntai, Ijok.

Selain itu, jentera pilihanraya KeADILan DUN Ijok akan dilancarkan pada waktu yang sama.

Akan turut bersama pada majlis tersebut adalah pimpinan tertinggi KeADILan: Presiden Dr Wan Azizah, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden Azmin Ali, Sivarasa Rasiah, Dr Lee Boon Chye, Mustaffa Kamil Ayub, Ketua Wanita Fuziah Salleh, Pemangku Ketua Angkatan Muda Shamsul Iskandar dan Ketua Penerangan Tian Chua.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi SD Johari 017-6061735 atau Ginie Lim 012-6693453.

SEMUA DIPERSILAKAN HADIR.