Agen MB Selangor di Ijok?
Menteri Besar Selangor, Mohd Khir Toyo dilaporkan akhbar-akhbar arus perdana hari ini sebagai berkata bahawa jika BN menang dalam pilihanraya kecil DUN N11 Ijok nanti dia akan mengambil Ijok sebagai “kawasan angkat”nya.
Untuk itu dia akan melantik seorang agennya di kawasan ini — bagi meninjau dan memantau pembangunan kawasan ini.
Cakap apa ini, Wak? Kata suruh kita memberi sokongan penuh kepada K. Parthiban dari MIC — supaya dia jadi wakil rakyat kami. Kalau dia sudah dipilih menjadi wakil rakyat nanti, mengapa pula perlu ada agen lain?
Apakah Wak kurang yakin atas kemampuannya untuk membangunkan Ijok? Atau mewakili rakyat Ijok?
Atau Wak perlu menggula-gulakan seseorang dari Umno pula yang terkilan kerana tak terpilih menjadi calon wakil rakyat Ijok? Jika itu tujuannya, siapa yang akan bayar gajinya sebagai agen nanti — Umno, BN, dana peribadi MB, atau wang rakyat melalui kerajaan negeri?
Kalau agen MB itu suatu keperluan, mengapa dalam keadaan yang terdesak seperti sekarang ini baru difikirkan? Ertinya selama ini Ijok tidak mendapat perhatian kerajaan, walaupun wakil rakyatnya dari BN.
Tidakkah lebih baik kami memilih calon PKR sahaja. Sekurang-kurangnya Wak akan memberi perhatian kepada Ijok kerana tak senang duduk digodam Pak Khalid Ibrahim nanti.
Rakyat Ijok, masa untuk perubahan sudah tiba …
Pak Tam Ijok … sekadar agen insuran.
