Terima kasih Ijok, KeADILan tetap menang — Anwar

May 4, 2007
205432.jpg

Oleh Saidah Hairan
Thu | May 03, 07 | 11:10:58 AM

[Harakahdaily.net]

IJOK, 3 Mei - Walaupun sudah lebih lima hari perjalanan Pilihan Raya Dun Ijok berlalu dan keputusannya berpihak kepada Barisan Nasional (BN) namun semangat pengundi di Dun itu terus subur untuk menyokong segala perjuangan yang dibawa oleh KeADILan.Sambutan dan sokongan yang berterusan terbukti melalui perjumpaan pengundi Dun Ijok bersama Penasihat KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Tan Sri Abd Khalid Ibrahim serta pimpinan KeADILan dan DAP di Pekan Ijok, Batang Berjuntai yang diakhiri dengan jamuan dan ceramah di Kampung Ijok Batu 8, malam semalam.

Dalam ceramah dan pertemuan dengan pengundi, Anwar bertegas mengatakan KeADILan tidak kalah dalam pilihan raya jika BN tidak menjalankan penipuan,rasuah serta menggunakan segala jentera kerajaan.

Katanya, hari Khamis kelak media elektronik BBC akan berjumpa menemubualnya minta penjelasan perkara sebenar yang berlaku di Ijok.

Beliau berjanji dan menegaskan akan mengatakan KeADILan tidak kalah dalam pilihan raya Dun Ijok.

Ketika pertemuan dengan pengundi Cina di Pekan Ijok, beliau bangga dengan sokongan dan kehadiran masyarakat Cina walaupun calon KeADILan tidak berjaya merebut kerusi di Dun itu daripada BN.

Katanya, apakah pimpinan BN tidak malu untuk mengakui kemenangan kerana mengamalkan rasuah paling besar sehingga menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai pilihan raya paling kotor di Malaysia.

Menurut beliau, masyarakat Cina pun tahu tentang kewujudan pengundi hantu hanya Pemuda Umno saja yang tidak tahu kerana mereka rela menjadi `balaci’ pimpinan BN.

Sepanjang kempen pilihan raya jika dalam Umno di mana ada Khairy Jamaluddin di situ ada provokasi tetapi dalam BA di mana ada Anwar di situ ramai orang yang menyerbu ke arahnya.

Ketika beliau bersama Tan Sri Khalid menemui pemilik kedai di sepanjang Pekan Ijok, ternyata semua pengundi di situ Cina, India dan Melayu tanpa mengira umur keluar, bersalaman, berbual, berpelukan serta bergambar.

Ramai orang Cina yang ditemui meluahkan; “Kita sokong, kita undi. Ada masa lagi, jangan putus asa, datang lagi,”kelihatan mereka gembira bertemu dengan Anwar dan Khalid.

Anak-anak muda yang menunggang motor membunyikan hon dan menjerit reformasi, begitu juga dengan pemandu kereta turut membunyikan hon apabila melihat rombongan KeADILan yang diketuai Anwar.

Reformasi Ijok

Beliau menegaskan pilihan raya Dun Ijok akan masuk dalam sejarah politik tanah air dan semangat yang ditunjukkan oleh pengundi Ijok akan dijadikan contoh untuk diikuti oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sehubungan itu beliau akan melancarkan `semangat Ijok’ dalam ceramah yang akan menjelaskan tentang kejadian sebenar di Ijok di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Taman Melewar, 4 Mei nanti.

Walaupun BN menang tetapi PM, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan TPM, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak akan senang hati kerana banyak isu yang dibangkitkan oleh Anwar khususnya kes pembunuhan gadis Mongalia, Altantuya Shaaribu dan rasuah masih belum berjawab.

Menurut beliau, walaupun BN menghantar 500 SB, duit RM1 juta tetapi pengundi KeADILan tetap bersama-sama dan terus menyokong perjuangannya.

Superstar

Beberapa hari sebelum dan selepas Pilihan Raya, TV3 dan RTM sentiasa mengulang tayang tarian Anwar dan ucapan Khalid supaya pengundi menyokong BN.

“Saya menari sikit TV3 dan RTM tunjuk banyak kali. Saya macam superstar. Mana TV3 mana RTM ambil gambar saya tengah menari. Saya bukan Islam ke kalau saya menari,” katanya dalam pertemuan bersama pengundi di Kampung Ijok.

Serentak itu penyokong KeADILan menyahut dengan mengatakan TV3 bodoh lantas Anwar menjawab bukan bodoh tetapi celaka. Penyokong dan hadiri menyambut dengan tepukan gemuruh.

“Hang dah tahu pemimpin hang penyangak, yang ambil gambar itu pasal apa. Kenapa TV3 dan RTM tidak dedah kes pembunuhan Altantuya, curi komisen, rasuah mana siasatan,” tegasnya.

Sebelum itu dalam ceramah di Kampung Batu 8 Ijok, beliau menyampaikan sumbangan kewangan kepada tiga Pemuda PAS yang dipukul teruk oleh Pemuda Umno, pagi 28 April di Simpang Tiga Ijok.

Enam Pemuda PAS Hulu Langat yang sedang membetulkan bannar Anwar di Simpang Tiga Ijok, diserbu lebih 20 Pemuda Umno dan dibelasah. Seorang daripadanya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Anwar mempersoalkan, seorang Pemuda PAS cedera di kepala dengan 16 jahitan tetapi tidak dilaporkan dalam suratkhabar, tidak masuk TV3 dan RTM dan tidak ada siasatan dijalankan.

Ketua Pemuda Air Mata

Beliau turut diajukan soalan daripada wartawan Berita Harian atas arahan Ketuanya terhadap penolakan hasratnya untuk menyertai Umno.

Katanya, “Saya tidak pernah menyebut minat untuk menyertai Umno dan perkara ini tidak berbangkit.”

Sehingga kini beliau tetap teguh bersama KeADILan, PAS dan DAP dan itu merupakan keputusan yang paling ditakuti oleh pimpinan Umno.

“Yang paling takut kalau saya masuk Umno, Najib dan Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, Ketua Pemuda yang paling kuat menangis. Saya gelar dia Ketua Pemuda air mata,”katanya.

Dalam ceramah malam itu beliau berkata, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang serta Timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan petugas-petugas PAS bekerja bersungguh-sungguh seolah-olah calon PAS yang bertanding di Dun Ijok.

Begitu juga dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang cukup kuat bekerja dan berkempan hebat bersama KeADILan.


IJOK: KEADILAN TERUS BERJUANG MENUJU KEMENANGAN

May 4, 2007

S. Husin Ali,  Timbalan Presiden KeADILan

Sehari selepas pembuangan undi di Ijok, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) keADILan bermesyuarat. Ia merupakan mesyuarat bulanan biasa, tetapi menumpukan banyak masa untuk membincang pilihanraya kecil itu dan keputusannya. Walaupun dianggap “kalah”, namun para pemimpin yang hadir, termasuk Dr Wan Azizah (Presiden), Anwar Ibrahim (Penasihat) dan Khalid Ibrahim (Calon) semuanya bersemangat tinggi serta optimis.

Mesyuarat menegaskan semula pendirian Parti, seperti yang diumumkan oleh Khalid dalam sidang media selepas keputusan diketahui. Parti keADILan mempertikai keputusan pilihanraya kecil itu dan mencela taktik-taktik kotor Umno-Bn, dengan bantuan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan polis. Kami akan melancarkan kempen meluas dalam negara dan di kalangan masyarakat antarabangsa untuk mendedahkan segalanya.

Kami mendapati banyak bukti penipuan, rasuah dan ugutan. Banyak contoh diberi khusus oleh media internet. Kami sedang mengutip dan mengumpul secara sistematis segala bukti untuk menyiapkan sebuah laporan. Laporan ini akan digunakan dalam kempen mendedah proses pilihanraya itu dan mendesak reformasi SPR, undang-undang serta penyelenggaan pilihanraya di Malaysia. Ini untuk memastikan pilihanraya yang bersih dan adil bagi masa akan datang.

Ijok menunjukkan Umno-Bn terus menggunakan Stategi 3M untuk melakukan penipuan, rasuah dan ugutan secara besar-besaran bagi memenangi pilihanraya. 3M merujuk kepada “Machinery” (Jentera), “Media” (Media) dan “Money” (Wang).

M1: JENTERA

Dengan sumber kewangan yang besar Umno–Bn di Ijok berjaya menggerakkan jentera parti dengan berkesan. Mereka bolehlah memuji diri sendiri. Akan tetapi kami membantah keras penggunaan jentera Kerajaan, terutama SPR dan polis, yang dengan tidak silu-silu berkhidmat demi kepentingan pemerintah, walaupun sepatutnya mereka bertindak bebas.

Sudah lama SPR gagal membersihkan pengundi hantu dari daftar undi. Ramai nama orang yang sudah mati masih ada dalam daftar di Ijok. Anehnya, beberapa dari antara mereka “keluar mengundi”, dan kami berjaya mengenal pasti siapa. Terdapat juga nama 31 orang yang berumur lebih100 tahun. Nampaknya tiada mereka yang “keluar”. Adakah mereka wujud? Mungkinkah nama mereka digunakan oleh orang lain – pengundi hantu?

Selain itu terdapat antara 5-15 orang berdaftar dalam beberapa buah rumah sama. Petugas keADILan gagal mengenalpasti mereka, dan penduduk tempatan memberitahu mereka tidak ketahui begitu ramai sekali penghuni di rumah-rumah tersebut. Selanjutnya, petugas kami yang pergi dari rumah ke rumah, mendapati kira-kira 1000 pengundi yang tidak dikenali siapa dan di mana mereka tinggal, walaupun oleh penduduk tempatan sendiri.

Semua ini menunjukkan kemungkinan wujudnya pengundi hantu. Apabila aduan umum dibuat tentang perkara ini, Setiausaha SPR dengan muka tebal berkata, “Jika kaki mereka berjejak di bumi, mereka bukan hantu”. Adakah beliau cuba berseloroh? Sebenarnya ini merupakan kenyataan seorang pegawai tidak bertangungjawab..

Tentang polis pula, mereka datang beramai – dengan uniform, tanpa uniforn, menunggang kuda dan menaiki helikopter. Angka rasmi menyebut terdapat 1500 anggota polis di Ijok waktu itu. Ertinya seorang polis bagi tiap-tiap lapan orang pengundi. KPN Musa Hassan pun turut hadir.

Ada yang mengatakan Musa tidak mempercayai ketua polis daerah dan negeri di bawahnya. Atau adakah benar seperti yang dibisikkan ramai bahawa beliau mempunyai tugas tersembunyi dengan pucuk pimpinan Umno-Bn untuk memastikan kemenangan? KPN ini ada kepentingan peribadi untuk melihat keADILan dan Anwar kalah.

Pasukan polis cuba menggagalkan sekurang-kurangnya tujuh buah ceramah keADILan, kerana konon tidak mempunyai permit. Pada hal parti telah memberitahu mereka lebih awal tentang ceramah tersebut. Sungguh aneh peraturan begitu ketat terus dikenakan dalam masa kempen pilihanraya. Sehari dua sebelum hari mengundi, keADILan memohon permit untuk 11 ceramah. Anehnya tiga ditolak atas alasan TPM Najib dan Jabatan Penerangan mempunyai program di tempat berdekatan. Mengapa berat sebelah?

Saya berani mengatakan bahawa tindakan-tindakan polis ini adalah sengaja untuk membuat provokasi supaya petugas-petugas keADILan dan orang ramai bertindak liar. Mereka sudah bersedia dengan jurugambar dari stesen televisyen dan juga skuad TV Cawangan Khas, untuk mengambil gambar seandainya berlaku kekacauan yang tidak diingini. Mereka kecewa kerana dalam semua kes, para petugas parti dan pendengar ceramah bersabar dan bersurai dengan aman.

Ada satu lagi peranan pelik yang dimainkan oleh beberapa orang polis terpilih yang tidak memakai uniform. Kami diberitahu oleh sumber Umno dan polis yang sangat dipercayai bahawa mereka digunakan sebagai pengundi hantu, terutama dalam setengah jam terakhir sebelum pengundian ditutup. Mereka menggunakan kad pengenalan palsu dan sebahagian dari 2000 kertas undi sudah bertanda yang tersimpan di balai polis. Khabarnya ada di antara mereka yang membuang lebih dari satu undi. Hal ini perlu disiasat.

M2: MEDIA

Mengenai media perdana yang dikuasai atau dipengaruhi oleh parti-parti pemerintah atau nomini tertentu, mereka secara meluas memberikan liputan penuh kepada kegiatan dan kenyataan pemimpin parti pemerintah. Sebaliknya, para pemimpin pembangkang, terutama Anwar, Kit Siang dan Ustaz Hadi di”black-out”.

Pelbagai berita dan maklumat tentang calon, pemimpin dan parti keADILan diputar belit. Apabila Anwar menggerakkan tangan dan kaki secara sopan senada dengan mainan musik untuk menghibur pengundi-pengundi India, televisyen yang dikuasai atau dipengaruhi pemerintah menyiar gambarnya berulang-ulang kali. Ulasan selari mengenainya mendakwa Anwar melakukan tindakan yang bertentangan dengan Islam. Dakwaan ini mirip “libel” dan Anwar boleh mengambil tindakan undang-undang jika beliau mahu.

Lebih teruk lagi, televisyen mengulang tayang dalam siaran berita berturut hari gambar yang menunjukkan calon keADILan seolah-olah menyeru supaya pengundi menyokong Bn. Boleh jadi Khalid tersasul. Tetapi Khalid menegaskan stesyen tersebut membuang perkataan “jangan” sehingga “jangan undi Bn” menjadi “undi Bn”.

Walau apapun, pihak stesyen TV bertindak tanpa moral secara oportunis untuk menimbulkan kekacauan fikiran di kalangan pengundi dan juga penonton di luar Ijok. Khalid tidak diberi peluang sama sekali untuk memberi penjelasan. Hal ini boleh berlaku, terutama semasa musim pilihanraya, kerana media yang bebas, bertanggung jawab dan beretika hampir tidak wujud di negara ini.

M3: WANG

Wang digunakan sepenuhnya oleh Umno-Bn untuk menyogok pengundi.Tiga hari sebelum penamaan calon, MB Selangor mengumumkan kerajaan negeri memutuskan peruntukan RM36 juta untuk dibelanjakan dalam tempoh kempen bagi membina atau membaiki kemudahan awam seperti jalan, parit, lampu jalan dan sebagainya. Sepanjang masa kempen Timbalan PM pula mengumumkan peruntukan yang besar jumlahnya bagi membina masjid (RM5 juta) dan membaiki masjid lama (RM800,000), serta juga kuil dan macam-macam lagi.

Adalah dianggarkan sebanyak RM100 juta wang kerajaan (yang rakyat punya) dibelanja untuk berbagai-bagai projek bagi membeli undi. Umno-Bn hingga hari ini tidak pernah menafikan angka tersebut. Berasaskan RM36 juta, bererti RM3000 dibelanja untuk setiap pengundi (dari 12000 pengundi). Sudah tentulah jumlah yang dibelanja untuk sekepala menjadi RM9000, jika berasaskan RM100 juta. Rakyat tidak menerima sebanyak itu. Sejumlah besar masuk kocek pemimpin Umno-Bn dan kontraktor istimewa.

Semua ini bukti rasuah awam. Akan tetapi, Pengerusi SPR begitu cepat menafikannya rasuah. Ujarnya, ia tidak bertentangan dengan undang-undang yang sedia ada, ujarnya. Benar. Tetapi bukankah ini undang-undang tidak adil, tidak bermoral dan berat sebelah? Jikalau rasuah awam seperti ini berlaku di negara lain, termasuk dalam Asia, sudah tentu rakyat akan bangkit marah dan kerajaan boleh tumbang. Tetapi, Malaysia Boleh!

Yang kurang diketahui, sebab lebih tersembunyi, ialah rasuah perseorangan, iaitu wang yang diberikan oleh pemimpin atau petugas utama Umno-Bn kepada pengundi secara persendirian. Ramai pengundi memberitahu mereka dijanjikan dan diberi RM100 hingga RM500; bahkan ada yang mengaku diberi sampai RM1000. Tetapi tiada penerima yang sanggup mendedahkan perkara ini kerana takut didakwa dan dihukum.

IMPLIKASI:

Apakah implikasi penting dari pilihanraya kecil Ijok?

Pertama, perlu didedahkan seluas-luasnya taktik kotor serta amalan tidak bermoral oleh kerajaan Umno-Bn. Pada masa yang sama perlu dituntut terus reformasi dilakukan ke atas SPR, yang bersama polis bersubahat dengan parti serta pemimpin kerajaan untuk mencemarkan pilihanraya. Kempen perlu dilakukan dalam serta luar negara.

Kedua, sudah tentu dalam pilihanraya umum akan datang, Umno-Bn tidak mungkin mendapat bantuan daripada polis sebagaimana di Ijok. Juga, mereka tidak akan termampu melakukan rasuah awam dan persendirian sebesar di Ijok. Tidak usahlah untuk kawasan DUN, bahkan bagi tiap-tiap kawasan Parlimen pun adalah sulit bagi mereka menyediakan RM36 juta, kerana ini bermakna mereka harus menyediakan kira-kira RM8 bilion.

Ketiga. Sekiranya trend di Ijok, iaitu undi Cina beralih kepada pembangkang dan undi Melayu terbahagi dua, pasti Umno-Bn akan merasa terancam di kawasan-kawasan campuran (kaum), yang menjadi asas kekuatan mereka. Mereka mengetahui hal ini, dan itulah sebabnya PM Abdullah Badawi mengarahkan kajian dibuat ke atas semua pilihanraya kecil, supaya dapat diberikan khidmat lebih baik. Bersedialah, Umno-Bn akan membeli pengundi Cina secara besar-besaran dari sekarang hingga PRU ke-12.

Keempat. keADILan sudah membuktikan di Ijok bahawa parti-parti pembangkang dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh bekerjasama dalam pilihanraya untuk memberi sokongan kepada calon pembangkang. Ini petanda yang baik.

Kelima. Sudah jelas kini Anwar sangat komited kepada keADILan dan muncul sebagai pemimpin yang tidak dipertikaikan bagi parti itu dan juga parti-parti pembangkang yang lain. Cakap-cakap tentang beliau memasuki Umno akan berhenti. Bahkan Umno sendiri mengisytiharkan tidak akan menerima Anwar masuk semula, walaupun beiau tidak pernah meminta.

Keenam. Harus diakui bahawa keseluruhan organisasi dan jentera pilihanraya keADILan belum kuat. Banyak mesti dilakukan untuk memperbaiki keadaan dengan cepat. Jikalau ahli, organisasi dan jentera kukuh serta mantap, sudah pasti mudah bagi keADILan serta pengundi mengatasi Strategi 3M dan menepis penipuan, rasuah serta ugutan.

Akhirnya, tidak boleh dinafikan bahawa keADILan dapat berdiri tegak serta teguh kerana kemenangan moralnya. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran serta tekanan, ia masih mendapat kira-kira 41% undi. Dari segi moral, Umno-Bn tewas, kerana segala taktik kotor yang mereka jalankan dengan bantuan SPR dan polis semakin terdedah. Walaupun mereka memenangi semua pilihanraya kecil, namun jikalau mereka halusi trend umum, Umno-Bn akan lebih dari bimbang. Kini, keADILan serta teman-temannya perlu bekerja gigih dan berkorban kuat dalam perpaduan kukuh untuk mencapai kemenangan.