Hadapi UMNO-BN sebagai satu pasukan

May 31, 2007

Warkah balas Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim,  Bekas Calon Pilihanraya Kecil Ijok dan kini Setiausaha Agung keADILan kepada Surat Terbuka YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

29 Mei 2007.

Menemui Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan segala doa agar sentiasa di bawah lembayung naungan, rahmat dan perlindungan Allah. Semoga terus dapat bersama memimpin umat ke arah mardhatillah.

 

Tuan Guru,

Warkah yang Tuan Guru nukilkan tempoh hari benar-benar menyentuh akal dan sanubari saya. Tazkirah yang diberikan, insyaALlah akan menjadi azimat, bekalan buat saya menempuhi jalan-jalan sukar penuh halangan demi menegakkan keadilan di muka bumi Malaysia ini.

Saya bertawakkal dan berserah diri pada hari saya terjun ke lapangan perjuangan rakyat melalui wadah Parti Keadilan Rakyat. Tidak pernah saya mengimpikan jalan yang mudah dan segera untuk mencapai kemenangan rakyat. Kerana itu saya berserah diri kepada Allah dalam menentukan masa depan saya di dalam perjuangan ini; sebagaimana yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam di dalam Al-Quran.

“…Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah Rabb yang mempunyai Arasy yang besar.

At-Taubah: 129.

Benar, pengalaman di Ijok adalah perit. Namun saya insaf, sebagai hamba Allah, tugas kita hanya merancang dan berusaha. Sungguh, kita mahu mencapai kemenangan. Kerana kita yakin dengan kemenangan itu, insyaALlah kita akan dapat memberi sumbangan kepada mencegah kemungkaran dan kezaliman yang berleluasa. Tetapi saya sedar bahawa kemenangan itu ditangguhkan Allah kerana ada hikmahnya.

Saya hanya mampu berdoa agar terus diberikan kekuatan dan keteguhan hati untuk terus memikul amanah perjuangan. Perjuangan ini harus diteruskan meski mengambil masa bertahun-tahun atau puluhan atau ratusan tahun sekalipun. Kita pada hari ini adalah pejuang-pejuang seperti Tuan Guru yang sekadar merupakan mata rantai yang menyambung beban perjuangan yang panjang daripada para Rasul, Anbiya’, Tabiin, Mujahid dan para pejuang terdahulu untuk menyampaikannya kepada generasi mendatang.

Saya pohon doa Tuan Guru agar saya sentiasa beriltizam dan memegang erat janji perjuangan ini. Segala kerja buat Tuan Guru selama ini adalah contoh ikutan kepada saya yang baru dalam menghadapi tentangan dan tekanan UMNO-Barisan Nasional.

Segala fitnah, tohmahan, putar belit media yang saya, ahli keluarga dan seluruh pemimpin-pemimpin Barisan Rakyat hadapi bukanlah sesuatu yang tidak diduga. Mereka terdesak, justeru mereka sanggup lakukan apa sahaja. Caci maki, tipu helah dan fitnah adalah mainan mereka semata-mata.

Menelah sirah anbiya’, saya sedar secara perbandingan betapa ringan cubaan yang ditimpakan ke atas saya itu. Para Nabi, khususnya Junjungan Besar kita Muhammad sallahualaihiwassalam, bukan sekadar menghadapi serangan lisan dan cuba dipukul malah berhadapan dengan ancaman terhadap nyawa mereka sendiri.

Kerana saya ini seorang hamba yang kerdil, kerana saya ini seorang insan yang sudah tentu tidak hampir sekalipun dengan kehebatan para Nabi, maka saya panjatkan syukur ke hadrat Ilahi atas cubaan dan cabaran ringan yang saya hadapi itu.

 

Tuan Guru,

UMNO dan BN, khususnya di Selangor, tidak mahu sesiapa juga yang mempunyai kemampuan, tambahan pula di dalam bidang kewangan dan ekonomi, mendapat tempat di Dewan Undangan Negeri. Mereka bimbang kalau-kalau wakil rakyat yang cekap dan berkemampuan akan menonjolkan lagi kelemahan mereka. Mereka hidup di bawah bayang-bayang kejahatan diri mereka yang menyalahgunakan kekayaan rakyat untuk kepentingan peribadi. Kerana itu mereka risau segala-galanya didedahkan.

Pada mereka biar Dewan Undangan Negeri, biar Dewan Rakyat dan Dewan Negara dipenuhi oleh ahli-ahli yang korup seperti mereka juga atau sekurang-kurangnya tukang angguk dan pak turut yang akan mengatakan “Ya!” kepada segala kemahuan mereka.

Kerana itu saya yakin kita perlu terus berjuang. Ulama besar, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Harakah Islamiyyah Satu Tuntutan telah menyatakan bahawa hanya dua cara untuk iman memerintah negara. Pertama, masuknya iman ke dalam hati pemerintah; kedua berpindahnya kekuasaan ke tangan orang-orang beriman.

Seperti yang pernah dikatakan oleh Tuan Guru, sekiranya orang-orang UMNO itu bersedia untuk berubah, bersedia menegakkan Islam maka tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mereka.

Namun Syeikh Yusuf al-Qaradhawi sendiri mengakui bahawa untuk berubahnya pemimpin yang korup dan zalim menjadi beriman adalah sesuatu yang sukar, meski tidak mustahil. Kerana itu kita perlu terus berjuang bagi memastikan negara ini bebas daripada penjajahan minda mereka.

Kita tidak membenci diri mereka; yang kita tentang ialah sikap zalim mereka. Itu yang menyebabkan kita tidak boleh redha atau berdiam diri dengan perbuatan mereka.

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim; maka (jika kamu berlaku demikian) api Neraka akan membakar kamu; sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Hud: 113

Maka saya katakan, meski mereka menyerang saya sehingga membuat penipuan dan fitnah terhadap hal-hal peribadi saya, menafikan sejarah dan sumbangan saya kepada rakyat dan negara ini; apabila sahaja mereka bersedia mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan rakyat, apabila mereka menghentikan sikap berleluasa mereka dan memegang kepada nilai, menghentikan kezaliman dan menegakkan keadilan; maka saya kira pada saat itu perjuangan kita tidak lagi perlu.

Tetapi selagi mereka bertegas menzalimi rakyat, mengamalkan rasuah maka saya sedar adalah menjadi kewajipan kepada semua kita untuk terus-terusan berjuang dan berkorban demi memastikan negara Malaysia ini dan seluruh negeri-negerinya diperintah berasaskan nilai dan bukannya kepentingan peribadi dan nafsu.

 

Tuan Guru,

Saya doakan agar negeri Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru terus makmur dan aman sentosa, dilimpahkan rahmat dan nikmat. Saya doakan juga agar PAS akan terus bersama-sama mantap dan kukuh di dalam menghadapi cabaran, tekanan dan sekatan.

Saya pohon daripada Tuan Guru doa restu agar bersama-sama kita akan dapat mengatasi segala cabaran di dalam perjuangan ini. Dengan kerjasama erat di antara kedua-dua parti kita – keADILan dan PAS bersama parti-parti lain, gerakan masyarakat dan setiap rakyat yang cintakan keadilan dan membenci kezaliman, InsyaALlah kita akan mencapai kemenangan sebagaimana Rasulullah dan Islam pernah mencapai kemenangan.

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

An-Nasr: 1-3.

Meski kita pada hari ini dilihat lemah kerana UMNO dan BN itu menguasai dan memperalatkan segala jentera, kekuatan dan kakitangan kerajaan untuk kepentingan mereka, isyarat-isyarat kemenangan sudah jelas kelihatan. Ijok misalnya membuktikan betapa kerjasama erat di antara semua parti-parti yang menentang hegemoni BN diterima baik oleh rakyat.

Justeru kita perlu perkukuhkan kerjasama dan mantapkan persefahaman dengan mengenepikan kepentingan-kepentingan sendiri dan mengutamakan kepentingan bersama. InsyaALlah dengan itu, meski kita sedikit berhadapan dengan segala jentera kerajaan, polis, tentera dan semuanya; kita mampu mencapai kemenangan.

…Berkata pula orang-orang (daripada kalangan tentera Talut) yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.”

Al-Baqarah: 249

Biarlah kita menjadi sebahagian daripada orang-orang yang yakin ini dan membuat persiapan segala terdaya kita bagi menghadapi UMNO dan BN khususnya di dalam Pilihanraya Umum Kedua Belas yang akan datang sebagai satu pasukan.


Abdul Khalid Ibrahim

Setiausaha Agung

Parti Keadilan Rakyat


Tan Sri Khalid Lepasi Ujian Getir

May 31, 2007

Warkah tazkirah buat Tan Sri

YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

29 April 2007.

Menemui Tan Sri Khalid Ibrahim dengan segala doa dan limpah kerahmatan dariNya. Tan Sri, baru agak sebentar Tan Sri cuba untuk berjinak-jinak dengan dunia pembangkang dan Tan Sri sudah dapat merasai pahit gigitannya. Kami sudah puluhan tahun dijeruk dalam tempayan penderaan ini. Cukuplah Allah yang menjadi saksinya.

Usahkan kita nak bercakap soal pembelaan Islam dan umat Islam, membela nasib bangsa Melayu melalui demokrasi sekali pun, kita akan menyaksikan satu laluan berhalang yang teramat sukar.

Apa yang menyayatkan hati lagi ialah ia hampir sah sengaja dilakukan. Ini cukup dapat disaksikan dalam plihan raya kecil di Ijok baru semalam.

Dalam konteks demokrasi, rugi sangatkah jika Dewan Undangan Negeri Selangor memberi ruang kepada minoriti pembangkang? Hatta, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegur tentang ‘tidak betulnya’ sesebuah sistem berkerajaan jika kerajaan yang di pilih(?) itu terlampau-lampau kuat.

Tanpa sebuah kerusi pun yang dibenarkan, maka siapa agaknya yang mampu menyemak parti yang membentuk kerajaan itu dari melakukan kesilapan? Beliau seorang tokoh bergelar Tan Sri dan bukan sebarang budak kampung yang biasa.

Dalam hal ini, mungkin sangat bermanafaat kita merenungi maksud ayat Allah SWT mengenai tiga orang Rasul yang dibunuh oleh kerajaan yang zalim kerana mengamalkan sikap enggan menerima nasihat.

Ini kebenaran sejarah dan tercatat sendiri di dalam al-Quran. Ia berbunyi, “Utusan-utusan itu berkata: kemalangan itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.” (Surah Yasin Ayat 19).

YBhg. Tan Sri,

Pada saya, pilihan raya kecil Ijok sebenarnya semacam kesempatan. Kesempatan itu semacam diatur oleh Allah SWT untuk memberi peluang kepada pemimpin Umno dan seluruh warga pengundi Ijok untuk memperbaiki semula dasar angkuh Selangor yang menolak Islam dan sekali gus doktrin demokrasi berbunyi “pembangkang sifar”.

Tak bolehkah Ijok sekadar dibiarkan kerusinya untuk pembangkang. Maksud saya, bukan diberi percuma sebegitu tetapi dipertandingkan dengan cara yang sihat.

Ini, sampai membawa bala tentera polis dan FRU yang beribu-ribu. Mengugut pengundi di sana sini. Amalan gangsterisme. Ada tertangkapnya dua bas yang disyaki membawa pengundi hantu dari Perlis.

Curahan peruntukan raksasa yang melebihi RM36 juta. Ini demokrasi atau apa? Tak mungkin Umno tak faham betapa semua amalan ini adalah perbuatan kontra demokrasi yang terkutuk dan hina sehina-hina!

Jika saya dibenarkan menggunakan ‘pisau tumpul’ untuk memotong di ketika ini maka saya akan mengatakan yang pemimpin-pemimpin Umnolah yang selama ini bertanggungjawab mengeraskan hati rakyat Malaysia dari menerima kebenaran Allah.

Jika calon KeADILan kita menang sekali pun, apa sangatlah yang kurangnya Selangor itu. Sehabis kuat, Tan Sri Khalid kita akan hanya bertazkirah, menegur dan berpesan-pesanan darihal kebaikan.

Selaku seorang yang berkepakaran di bidang ekonomi dan korporat, tentu sekali penguasaan ilmu Tan Sri adalah aset yang sangat besar untuk dikongsikan oleh Selangor dalam konteks mendengar pandangan kedua dari arah yang sedikit berlainan.

Ini tentu akan mencetus satu proses ‘check and balance’ yang sihat untuk membela nasib orang Melayu, orang Islam, non-Islam dan umat manusia pada amnya.

Cuba pemimpin Umno buat perbandingan sedikit dengan apa yang sedang berlaku di White House hari ini. Lapan calon Demokrat telah sebulat suara mengutuk Presiden Bush berhubung dasar beliau di Iraq.

Ini berikutan daripada kekalahan pihak Republikan di tangan Demokrat yang semakin menyisihkan Bush.

Bahkan, dalam perbahasan kempen pertama disiarkan menerusi televisyen sebelum pemilihan Presiden 4 November 2008, calon Demokrat membidas pentadbiran Bush kerana terus menghantar beribu-ribu askar AS dan membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk kempen Perang Iraq yang menuju kegagalan.

Berita ini ada dalam semua akhbar pada 28 April 2007. Nah, kita boleh lihat bagaimana berbeda sekali amalan demokrasi di tempat orang berbanding dengan di tempat kita.

Di peringkat ini, saya tidak perlulah menghukum betapa kunonya kita sebab Tan Sri sendiri, seluruh penduduk Ijok dan rakyat Malaysia pada amnya telah sempat menyaksikan segala adegannya. Ia jelas sebuah demokrasi olok-olok di mana Islam diperolok-olokkan.

Jika mulialah apa yang dilakukan kerajaan Umno di Ijok itu, kenapa tidak dibenarkan mana-mana pasukan pemantau pelaksana demokrasi peringkat dunia untuk menjadi saksi.

Sebenarnya, kita telah tersalah memakaikan lencana dacing yang bersimbolkan keadilan dunia dan demokrasi ke dada pemimpin Umno. Rupanya, mereka cuma berwajah demokrasi tetapi berjiwa ‘komunis’.

Mereka boleh dikatakan hampir kering kontang dari segi nilai iman dan hari pembalasan di akhirat. Itulah Tan Sri; apa yang mungkin saya boleh simpulkan.

Pemimpin Umno perlu ingat bahawa segala yang dilakukan di Ijok itu ada divideokan oleh Allah SWT. Jangan ingat, pihak Special Branch (SB) dan polis rahsia Umno sahaja yang membuat rakaman.

Bahkan, mereka perlu di ingatkan dengan ayat Allah yang bermaksud, “pada hari di ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan Nya, kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpul (mencatat) amal perbuatan (dan aktiviti) itu, padahal mereka melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. (Surah Al-Mujadalah Ayat 6).

Tan Sri,

Saya sekadar berpesan kepada Tan Sri. Saya cuma mengambil kesempatan untuk bertazkirah melalui surat terbuka ini untuk dibaca oleh semua. Tahniah jua dari saya di atas keberanian dan ketabahan Tan Sri untuk mengharungi ujian yang getir ini.

Lagi pun, mengikut bacaan, undi di Ijok untuk PKR sudah bertambah sebanyak 471 undi. Syabas saya ucapkan. Sesungguhnya, kerja memikul kebenaran ini adalah satu tugas berat.

Hanya Nabi-Nabi, Rasul-Rasul dan para anbiya’ yang diikuti oleh pejuang-pejuang seperti kita termasuklah seperti Tan Sri yang mampu memikulnya, InsyaAllah. Pantang berundur. Kuatkan semangat. Seorang mukmin adalah seorang yang tidak pernah kenal erti kecewa dan putus asa. Wallahua’lam.