Kenyataan Rasmi Pengerusi Perhubungan keADILan Selangor

Parti Keadilan Rakyat (keADILan) Selangor
36 Jalan 13/14, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor.
Tel: 03-5510 1773, Faks: 03-5510 2773

Kenyataan Media
9 April 2007.

keADILan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri Ijok

Suara rakyat yang lantang mengkritik Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan tuntutan-tuntutan agar pengendalian pilihanraya di Malaysia direformasi untuk memastikan ia benar-benar adil ternyata tidak dipedulikan oleh pemerintah dan SPR.

Malah tindakan Pengerusi SPR dengan bongkak mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan SPR untuk membawa Suruhanjaya tersebut ke mahkamah adalah cerminan sikap sebenar SPR yang tidak mempedulikan kehendak dan tuntutan rakyat.

Cabaran tersebut hanya semata-mata retorik kosong kerana ruang dan peruntukan untuk mencabar SPR di mahkamah telah disekat dan disempitkan dengan pelbagai pindaan undang-undang.

Mengambilkira keadaan yang sebegini, Parti Keadilan Rakyat beranggapan bahawa untuk memastikan reformasi pilihanraya berlaku dan pilihanraya dikendalikan dengan benar-benar adil dan bersih bagi menzahirkan suara dan kehendak rakyat, perubahan mesti dilakukan di peringkat pemerintahan negara dan negeri itu sendiri.

Oleh yang demikian keADILan membuat keputusan untuk menggerakkan rakyat menuntut perubahan melalui jalan pilihanraya. Meskipun kita akan berhadapan dengan lapangan pertandingan yang tidak sama rata (uneven playing field), rakyat Malaysia tidak punya sebarang pilihan selain menghadapi segala kesukaran itu dengan tabah.

Justeru keADILan akan meletakkan calon untuk bertanding di Pilihanraya Kecil DUN Ijok yang akan datang. keADILan percaya pilihanraya kecil ini akan dimanfaatkan oleh rakyat untuk menzahirkan kehendak mereka terhadap kepemimpinan negeri Selangor yang bersih yang ditawarkan oleh Barisan Rakyat dan menolak cara hidup korup pemimpin Barisan Nasional.

Para pengundi di Ijok sendiri telah menghubungi keADILan di peringkat Bahagian Kuala Selangor dan Negeri Selangor untuk mendesak keADILan agar meletakkan calon pada pilihanraya kecil tersebut. Parti-parti rakan, PAS dan DAP, juga mempunyai pandangan yang sama dan memberikan komitmen untuk memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada calon keADILan.

Selain itu, sebahagian besar desakan rakyat pada peringkat akar umbi itu telah dikemukakan dalam bentuk rayuan agar keADILan mengemukakan seorang calon yang cukup berwibawa dari segi kebolehan dan pengalamannya. Watak yang demikian, menurut rayuan itu, amat dikehendaki rakyat sebagai suatu daya pengimbang dan pengkritik terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor sekarang yang bukan sahaja tidak cekap tetapi juga telah memilih untuk meneruskan sifat-sifat korupsi dan kroni pentadbiran Negeri sebelum ini.

keADILan percaya sokongan mantap rakyat akan dapat mengatasi sebarang tindakan penipuan pilihanraya yang akan dilakukan oleh BN dan juga SPR. Oleh yang demikian, keADILan memutuskan untuk menguji buat kesekian kalinya sikap BN dan SPR yang tidak teragak-agak sanggup menipu, mempermain-mainkan dan menindas rakyat.

Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim
Pengerusi Perhubungan keADILan Selangor

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: