Pujuk dan Ugut di Ijok

Oleh Kamarul Baharin Abbas

Mula-mula Batu Talam, kemudian Machap, dan kini ke Ijok. Sesungguhnya, ada rasionalnya mengapa pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam. Sudah tentu ada perkiraannya juga mengapa DAP perlu bertanding di Machap. Dan kini, bukan calang-calang, Keadilan akan turun dan berkampung di Ijok.

Umum sudah jelas, bahawa Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) telah memilih jalan pilihanraya sebagai cara paling bertanggungjawab untuk menekankan perubahan yang wajib dalam negara ini. Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas, beliau segera berusaha dan bekerja memantapkan parti untuk menghadap proses demokrasi.

Namun, dalam proses mengamal demokrasi, hak berdemontrasi tidak pula dinafikan oleh Keadilan. Cuma tumpuan ke hadapan adalah pilihanraya, bukan lagi pilihan jalan raya, setelah kita melewati period baru perjuangan yang lebih teratur dan tidak berdasarkan sentimen.

Pilihanraya Kecil Ijok merupakan kesempatan kali ke tiga, dan barangkali juga yang terakhir sebelum kita berhadapan dengan Pilihanraya Umum. Di mata kita, tidak ada bezanya sama ada Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya daripada MIC, MCA, apatah lagi Umno di Ijok.

Batu Talam, pembangkang memutuskan untuk baikot dan tidak bertanding, dan kesannya cukup jelas. Bahkan, laporan penipuan pilihanraya yang dibuat oleh Biro Pilihanraya Keadilan yang diketuai Naib Presiden, Azmin Ali, tetap telah impak. Setidak-tidaknya, diperingkat antarabangsa, Perdana Menteri Abdullah Badawi tidak boleh lagi mendabik dada sebagai tokoh negarawan Islam antarabangsa kerana beliau tidak memperdulikan tuntutan rakyat supaya mengamalkan ketulusan dalam pentadbiran negara. Abdullah juga bukan seratus peratus ‘mulia’ selagi beliau masih belum serius menyiasat skandal yang melibatkan penipuan kad pengenalan kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah yang bertujuan memberi hak kepada mereka untuk menyelamatkan BN pada setiap kali pilihanraya.

Dalam tempoh terdekat juga, satu kumpulan parti-parti politik bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan satu badan pemantau, yang dikenali Badan Pilihanraya Adil dan Bebas (Bersih) bagi memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap telus dan tidak terus ditunggang BN.

Di Machap juga, buat pertama kalinya, sebuah badan pemantau pilihanraya yang dikenali sebagai Malaysian Free and Fair Election (Mafrel) diberi izin memantau pilihanraya kecil berkenaan. Pendapat awal sudah mendorong kepada berlakunya salahguna jentera dan khazanah kerajaan bagi membantu calon.

Kita dapat lihat di dalam keputusan di DUN Machap, bukan sahaja majoriti BN merosot, tetapi undi popular kepada calon MCA itu jatuh sebanyak 314 undi daripada 5,847 pada tahun 2004 kepada 5,533 dengan jumlah keluar mengundi masih di atas paras lebih 74 peratus. Pencapaian ini secara langsung menggambarkankan bahawa pengundi tidak semudah boleh dipengaruhi dengan rasuah dan janji-janji manis BN. Dalam konteks Machap yang dianggap sebagai kubu BN di ‘negeri keris berkarat’, perubahan undi popular itu tentunya memberi petanda baik untuk pembangkang, khususnya Keadilan untuk bertapak di Ijuk.

BN akan meraih sokongan dengan cara paling tidak bermaruah, iaitu menabur wang. Cara ini juga sekaligus adalah sebahagian daripada memperlekeh bukan sahaja undang-undang, tetapi juga mempersenda kebijaksanaan dan kebebasan rakyat untuk memilih parti dengan fikiran waras. Dalam dunia hari ini, hanya masyarakat yang mundur mentalitinya sahaja yang akan memilih parti dan pemimpin berdasarkan rasuah pilihanraya, dan mengenepikan kewarasan berfikir.

Pada 12 April lalu, DAP membuat laporan polis apabila mendapat perkhabaran bagaimana BN membeli pengundi dengan membayar wang tunai RM200 seorang. Betapa jijiknya mainan politik ini, dan betapa di mata pemimpin BN, harga diri pengundi begitu murah sekali. Baca sahaja berita bagaimana ada seorang pengundi berketurunan India yang khabarnya mengunakan wang tersebut hanya untuk menikmati makan malam KFC, sedangkan harta kekayaan negara yang dirompak pemimpin elit BN seolah-olah boleh menyara tujuh keturunan mereka tanpa bekerja!

BN dijangka akan terus cuba memukau orang kampung dengan menabur peruntukan berjuta-juta ringgit yang akan diluluskan di Ijok nanti, seperti berlaku di Machang. Jalan-jalan estate dan ladang akan diperbaiki, saluran peparitan akan dibersihkan, jalan raya akan diturap sertamerta. Sebenarnya kerja-kerja ini adalah janji-jani yang dibuat pada pilihanraya umum 2004 yang lalu, seperti janji Khir Toyo yang akan sering melawat selepas BN menang di Ijok. Memang rahmat bagi penduduk Ijok, pilihanraya kecil ini akan memaksa BN menunaikan janji-janji mereka. Muka-muka hipokrit BN tetap akan membuat pelbagai janji lagi.

Timbalan Perdana Menteri boleh secara tiba-tiba meluluskan peruntukan sejumlah RM3.7 juta kepada Felda Tun Ghafar Baba Hutan Percha di Macang tatkala tempoh kempen, maka tidak mustahil di Ijok nanti, Najib juga akan meluluskan jutaan ringgit untuk apa jua tujuan sekalipun. Mungkin, beliau akan membuka gugusan felda yang baru di Ijok, dan membina kawasan rekrasi untuk petani, peladang dan binatang-binatang liar dan ternakkan. Apa kah ini akan memberi kemenangan yang besar kepada BN? Nyata di Machang, BN tidak langsung dapat pertingkatkan majoriti kemenangan.

Selepas melalui sekurang-kurangnya dua Pilihanraya Umum, Keadilan kini cukup berpengalaman dalam berhadapan segala taktik kotor Umno-BN, daripada memeras ugut sampailah ke kalangan petugas Keadilan dibelasah sehingga rabak kepala. Demi itu jualah, Ijok segera membawa ingatan kita kepada kenangan manis di Lunas, Kedah pada tahun 2000. Sekalipun kali ini bukan untuk mengenepikan majoriti dua per tiga kerusi BN di Dewan Undangan Negeri Selangor, tetapi kejayaan sesungguhnya akan lebih bermakna sebagai permulaan kepada pertukaran pemerintahan negeri kepada sebuah parti yang nekat membawa perubahan.

Ayuh, ramai-ramai turun Ijok!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: