BN risau tentang sokongan pengundi Melayu di Ijok

 
Nash Rahman
Apr 24, 07 1:20pm 
[dari Malaysiakini.com]
     

Dalam keghairahan pemimpin Barisan Nasional (BN) menabur projek bernilai puluhan juta ringgit, nampaknya mereka juga tidak dapat menyembunyikan kerisauan tentang sokongan pengundi Melayu terhadap calon BN, K Parthiban dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok Sabtu ini.

Nada ucapan pemimpin tertinggi BN termasuk Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak; Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, nampaknya seperti masih kurang yakin pengundi Melayu akan menyokong Parthiban dari MIC.

Parthiban, 38, seorang anak tempatan, akan berdepan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim, 61. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk K.Sivalingam pada 4 April lalu.

Kerisauan itu dipercayai tercetus ekoran desakan Umno bahagian Kuala Selangor supaya BN meletak calon dari parti itu memandangkan majoriti pengundi di Ijok adalah Melayu.

Lantaran itu, para pemimpin BN peringkat dan negeri dan nasional tidak putus-putus menegaskan bahawa kepentingan orang Melayu di Ijok tidak akan terabai walaupun mereka mengundi calon BN berketurunan India.

Selama ini, Ijok diwakili oleh calon dari MIC atas alasan jumlah pengundi India di kawasan pilihanraya tersebut adalah yang kedua terbesar di Selangor.

Menteri Besar Selangor sendiri mengumumkan akan menjadi Ijok sebagai DUN angkatnya dengan membuka pejabat dan melantik wakil tetapnya di situ.

Manakala Muhyiddin Yassin pula, dalam kempennya semalam, meminta pengundi Melayu supaya jangan bimbang mengundi calon daripada kaum India dalam pilihanraya kecil Ijok kerana kepentingan mereka tetap terbela.

Beliau memberi jaminan kepentingan orang Melayu – sebagai kaum majoriti di Ijok – tetap mendapat perhatian Umno yang menjadi tunjang kerajaan BN serta juga daripada Menteri Besar Selangor.

‘Sokongan bersama’

Oleh itu, Bernama memetik beliau sebagai berkata:”Tidak ada sebab masyarakat Melayu perlu risau atau terkilan kerana diwakili oleh kaum India. Walaupun calon BN, Parthiban, dari MIC, sentimen perkauman tidak timbul kerana sesiapa yang terpilih sebagai wakil, beliau mewakili BN yang mewakili semua kaum. Inilah semangat dan konsep permuafakatan BN.”

Muhyiddin berkata, keistimewaan Ijok yang tidak ada di DUN lain di Selangor ialah ia mempunyai wakil Menteri Besar agar masyarakat Melayu dapat menyuarakan terus masalah mereka kepada Menteri Besar.

Najib selaku Timbalan Perdana Menteri, juga tidak dapat menyembunyikan kerisauannya mengenai perkara itu. Dalam ceramah semalam, Bernama memetik beliau sebagai meminta pengundi Melayu dan Cina membalas budi masyarakat India yang selama ini menyokong kuat calon BN daripada kaum-kaum tersebut.

Lagi pula, katanya, masyarakat India hanya mempunyai tiga daripada 56 kerusi DUN di Selangor, ataupun kira-kira lima peratus dan oleh itu pengundi Melayu dan Cina perlu menyokong calon BN yang mewakili MIC.

Berucap di majlis pemimpin bersama rakyat di Taman Pancaran, Batang Berjuntai semalam, Najib berkata, sokongan kuat penyokong parti komponen BN daripada pelbagai kaum telah menjadi amalan BN sepertimana yang terbukti dalam pilihanraya kecil Batu Talam dan Machap yang dimenangi oleh BN hasil sokongan bersama.

“Jadi sudah sampai masa bila MIC bertanding orang-orang Melayu dan Umno serta orang Cina membalas budi orang India dengan sokong MIC (calon BN).

“Takkanlah kita tak boleh sokong calon BN sebab orang India pun sokong Umno dan BN dengan kuat di tempat-tempat lain,” katanya.

Najib juga berkata orang Melayu juga tidak perlu bimbang kerana dengan mengundi calon MIC tidak bermakna mereka akan hilang kuasa kerana Umno masih menjadi tunjang BN dan kekal sebagai tonggak kekuasaan orang Melayu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: