BN menang dengan majoriti 1,850 di Ijok

Anis Nazri
Sat | Apr 28, 07 | 07:59:58 PM 
[Harakahdaily.net]
IJOK, 28 April — Pilihan raya kecil Dun Ijok menyaksikan kemenangan berpihak kepada calon Barisan Nasional, K. Parthiban dengan majoriti 1,850 undi, mengalahkan calon KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berdasarkan pengumuman Pegawai Pengurus Pilihan Raya Haris Kassim di pusat penjumlahan undi, di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai, kira-kira jam 8.47 malam tadi, Parthiban memperolehi 5,884 undi manakala Khalid, mendapat 4,034 undi.

Dengan itu, calon BN menang dengan tambahan majoriti 201 undi, berbanding dengan 1,649 undi dalam pilihan raya umum 2004.

Peratusan keluar mengundi yang dicatatkan ialah 81.88 peratus daripada 12,272 pemilih, iaitu kadar tertinggi dalam sejarah pilihan raya kecil yang pernah diadakan di negara ini.

Keputusan itu menunjukkan undi yang diperolehi BN dan KeADILan masing-masing bertambah daripada yang diperolehi pada 2004, di mana BN mendapat 5,213 undi manakala KeADILan mendapat 3,564 undi.

Ia bermakna kedua-dua calon memperolehi peningkatan undi hampir setara, iaitu BN berjaya menambah undi sebanyak 671 undi, manakala KeADILan menambah sebanyak 470 undi.

Dalam pilihan raya umum 2004, calon BN, K Sivalingam menang dengan kelebihan 1,649 undi mengalahkan calon PKR, Abdol Rahman Moharam, dan calon Bebas, Mohamed Shariff Nagoorkani.

Keputusan hari ini menunjukkan BN menang di tujuh daerah mengundi. Terdapat sembilan daerah mengundi dalam Dun Ijok.

Harakahdaily dimaklumkan, BN menang di daerah mengundi Sungai Darah, Jaya Setia, Bukit Badong, Batang Berjuntai Bestari Utara, Batang Berjuntai Bestari Selatan, Simpang Ijok dan Tuan Mee.

KeADILan pula menang di Kampung Ijok dan Pekan Ijok, dengan masing-masing memperolehi undi sebanyak 492 undi, dan 624 undi, berbanding BN yang memperolehi 376 undi (Kampung Ijok) dan 605 undi (Pekan Ijok).

Pada pilihan raya 2004 lalu, empat daerah mengundi, yang majoritinya pengundi Melayu, dimenangi KeADILan, iaitu Jaya Setia, Bukit Badong, Kampung Ijok dan Simpang Ijok.

Bagaimanapun kali ini ia hanya berjaya mengekalkan kemenangan di Kampung Ijok sahaja. Agak menarik jika diperhatikan KeADILan berjaya menguasai daerah mengundi yang majoriti pengundinya Cina, iaitu Pekan Ijok.

Di Bukit Badong, KeADILan memperolehi 826 undi, manakala BN (838 undi) dan di Jaya Setia, KeADILan memperolehi 327 undi, manakala BN (618 undi) pada pilihan raya kecil ini.

Pemilih berdaftar di Dun Ijok terdiri daripada 51 peratus Melayu, 28 peratus kaum India dan 21 peratus Cina. Sebanyak 39 orang adalah pengundi pos.

Pilihan raya ini diadakan berikutan kematian penyandang, Dato’ K Sivalingam, 59, dari BN pada 4 April lalu di Chennai, India, akibat serangan jantung.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: