Jika pilihan raya adil, bersih harapan KeADILan ada di Ijok

Subky Abdul Latif
Fri | Apr 27, 07 | 03:10:12 PM
Jika kebebasan berpolitik dan demokrasi terbuka itu wujud, dan perjalanan SPR itu adil dan bersih, ada harapan bagi calon Parti KeADILan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim memenangi pilihan raya kecil DUN Ijok.

Ada dua pertanda sekurang-kurangnya mengikut pemerhati calon pembangkang itu ada peluang berada di depan.

ImagePertama, pada pagi penamaan calon penyokong-penyokong KeADILan masuk ke kawasan penamaan calon dengan moral yang tinggi hingga dapat melemahkan penyokong calon BN.

Kedua, pada petang Sabtu, dua hari selepas penamaan calon, mengikut satu maklumat SMS, Tun Dr. Mahathir yang berucap di majlis UMNO satu cawangan di Dewan Darul Ihsan, Ampang secara terbuka menyebut bahawa beliau mahu calon KeADILan memenangi pilihan raya itu.

Alasannya iaitu supaya masyarakat tidak menyangka kerajaan dan pemimpin BN yang ada itu bersih sangat.

Jika pertandingan itu berlangsung dalam padang yang sama rata, terbuka dan semua pihak berpeluang menemui semua pengundi dan sekalin pengundi dan penduduk berpeluang mendengar semua hujah dari kedua-dua parti, maka bukan suatu yang mustahil calon BN kecundang di tangan pengundi.

Masyarakat yang tidak hadir di kawasan penamaan calon tidak tahu kisah semangat penyokong BN jatuh berdepan dengan moral penyokong KeADILan yang cukup tinggi.

Penyokong KeADILan masuk ke kawasan itu dengan melaungkan beramai-ramai kalimah ‘Altantuya’ dan ‘rasuah’ secara berterusan. Suara sederap yang berterusan itu jelas didengar oleh semua orang yang hadir.

Ia mungkin satu cara membakar semangat. Penyokong BN dan sekalian yang antipembangkang tidak mampu menyaingi teriakan penyokong-penyokong pembangkang. Ia cukup untuk menundukkan semangat penyokong BN.

Tiada cara suara mereka boleh mematah semangat calon dan penyokong KeADILan.

Mungkin ia dikira tindakan agresif pihak pembangkang. Tetapi itulah kempen. Antara tujuan kempen adalah untuk melemah dan menjatuhkan semangat lawan.

Apa yang dilihat dan didengar dari media rasmi dan tidak rasmi dikuasai kerajaan, bahawa pembangkang telah bertindak kasar membaling botol, batu, kayu dan apa-apa objek saja.

Memang gambar yang ditayangkan menunjukkan objek-objek yang lempar oleh penyokong kedua pihak dapat dilihat dengan jelas. Kayu dan objek-objek tertentu nampak melayang dari dan kepada kedua belah pihak.

Dari gambar yang ditayangkan itu, kedua-duanya nampaknya sama.

Tetapi kerana dalam masyarakat kita tiada stesen TV dan radio bebas dan tiada akhbar perdana yang bebas, maka orang ramai tidak dapat mengetahui suasana yang sebenar dan dari mana puncanya.

Yang didengar dari suara Ketua Pemuda UMNO dan lain-lain pemimpin dan penyokong BN bahawa ia adalah gerangan main kasar dan sikap ganas pembangkang. Dikatakannya pihaknya tidak memulakannya dan tidak pernah menggalakkan kekerasan dan keganasan.

Oleh kerana tiada ruang penjelasan dan pandangan pembangkang disiarkan, maka tidak siapa tahu apa cerita yang sebenarnya.

Saya dimaklumkan oleh orang yang ada di situ. Memang penyokong KeADILan dengan suara dan kalimah yang mereka sebut menguasai bunyi di kawasan sekitar.

Tetapi mereka menyebut kalimah ‘rasuah’ berulang-ulang secara nyaring dan melafaz nama Altantuya juga nyaring dan berulang-ulang.

ImageApalah salahnya menyebut perkataan-perkataan itu. Rasuah adalah kalimah yang disebut-sebut dan disiarkan orang ramai dan media setiap masa. Kerajaan bunyi bersungguh-sungguh benci rasuah dan mendakwa sedang memerangi rasuah. Semua orang dalam masyarakat kita diajak membenci rasuah dan mereka pun mengutuk rasuah.

Kalimah umum itu disebut beramai-ramai kerana bencikannya, apa salahnya? Ia bukan mengata si polan dan si polan rasuah. Orang mendengar perkataan itu marah sangat fasal apa?

Begitu juga Altantuya. Ia memang isu yang panas. Sekadar menyebut nama itu beramai-ramai dan berulang-ulang bagi mengingatkan isu itu apalah peliknya. Ada orang yang melenting dan merah muka mendengarnya mengapa?

Mengapa ada orang-orang latah dari naik darah mendengar kalimah itu? Itulah isu yang menjadi tanda-tanya. Orang bersih dari isu rasuah dan isu Altantuya tidak wajar gelabah dan berang mendengar perkataan itu.

Berang dengan kata-kata itu dikatakan penyokong BN pun membaling bodol kepada pihak penyokong KeADILan. Maka berbalas-balas balinglah.

Ada yang mengatakan yang mula membaling botol itu menantu Pak Lah, Khairy. Betulkah? Atau ia hanya satu tuduhan. Tetapi ia perlukan bukti justeru itu ia perlu disiasat. Kerana ada orang yang berkata begitu, maka ia tidak boleh diterima begitu saja, tetapi ia tidak pula ditolak begitu saja. Eloklah disiasat.

Melihat dia memang orang agresif dan sungguh provokatif, maka ia bukan mustahil.

Jika ada akhbar harian bebas dan ada TV serta radio bebas, maka suara dan pandangan semua pihak termasuk pembangkang dan prokerajaan boleh didengar.

Kerana kebebasan media itu tidak ada, maka orang juga tidak tahu adanya kenyataan Dr. Mahathir yang suka Tan Sri Khalid menang. Kalau media menyiarkan secara meluas menyataan Dr. Mahathir dan ditanya pula mengapa dia berkata begitu dan disiarkan, maka orang ramai khususnya pengundi Ijok mengerti keadaan politik yang sebenarnya. Tidaklah mereka jadi makhluk yang dicucuk hidung saja.

Mahathir bukan tidak tahu kenyataannya itu menyakitkan hati pimpinan BN, tetapi dia tidak mahu orang menyangka kerajaan yang ada dan sekalian pemimpin kerajaan dan BN bersih dan perlu disokong.

Jika media ada kebebasan, maka isu yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri dan kejadian berbaling-baling wajar dikupas sepanjang kempen itu.

Kenangan yang jelas bagi pembangkang sekarang Datuk Seri Najib sudah menyambut isu Altantuya. Ia dah macam cerita Luncai dan labu-labunya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: