Khairy Jamaluddin: Pemimpin rempit berkelulusan Oxford?

[Dari Suara Rakyat: http://www.suara-rustam.blogspot.com/]

 

Jika di Amerika kebanyakan para pemimpin peringkat tertingginya berkelulusan Harvard atau Yale, maka di Britain pula kebanyakan pemimpin demikian berkelulusan Cambridge atau Oxford.

 

Hakikat ini tergambar, misalnya, pada tokoh-tokoh yang menjadi calon presiden di AS atau pada ketua-ketua parti yang bakal menjadi perdana menteri di Britain.

 

Di Singapura tradisi pendidikan para pemimpinnya banyak meniru tradisi ini. Lihatlah sahaja latarbelakang pendidikan Lee Kuan Yew dan anaknya Lee Hsien Loong.

 

Para pemimpin politik kita kurang terbentuk dalam acuan tradisi yang demikian.

 

Sejak zaman British hingga sekarang, orang kita yang dihantar ke menara-menara gading luarbiasa di England dan AS itu kebanyakannya dilatih untuk menjadi para karyawan dan pegawai — bukan untuk menjadi para cendekiawan atau para pemikir yang “berbudaya”.

 

Oleh yang demikian, para pemimpin Umno misalnya tidak banyak yang lahir dari kalangan orang-orang mempunyai tahap pemikiran yang jitu – hanya dari kalangan para ahli percaturan realpolitik sahaja, walau apapun tahap pendidikannya.

 

Oleh kerana itu, bila Khairy Jamaluddin (kini Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Umno) mulai muncul di ufuk dunia kepimpinan politik Melayu (khususnya Umno) maka banyaklah orang yang menjadi agak excited. Belum pernah sebelum ini seorang pemimpin politik muda Umno muncul dengan kredential “kecendekiawanan” yang seperti itu.

 

Dia bukan sekadar mempunyai kelulusan dari Oxford, malah dia mempunyai kelulusan dalam bidang yang begitu banyak melahirkan para pemimpin politik di Britain – malah di pelbagai negara Komanwel juga (seperti Benazir Bhutto di Pakistan) – yakni bidang PPE (Politics, Philosophy and Economics).

 

Khairy beruntung memperoleh latarbelakang pendidikan yang demikian itu kerana keluarganya mempunyai latarbelakang Melayu kelas menengah yang mendapat perlindungan (dan tunjangan) dari negara pasca-merdeka ini. (Salah satu nikmat dari perlaksanaan DEB yang bermati-matian dipertahankannya itu?).

 

Bapanya bekas pegawai kanan dalam perkhidmatan pentadbiran dan diplomatik negara ini. Oleh itu Khairy, seperti anak-anak para pegawai diplomatik yang lainnya juga, telah memperoleh peluang untuk ditaja bagi memperoleh pendidikan di pusat-pusat pendidikan terulung di dunia.

 

Bahawa Khairy merupakan seorang pemimpin muda yang bercita-cita tinggi (ambitious) merupakan hakikat yang sukar dinafikan. Selain itu, jalan yang dipilihnya untuk mencapai cita-cita politiknya itu merupakan jalan yang “heboh” dan menuntut perhatian – sehingga tingkah laku politiknya (lebih tepat lagi realpolitik) seringkali merupakan langkah yang mengundang kontroversi.

 

Selain itu, “persiapan dirinya” ke arah mencapai kedudukan politiknya juga kelihatan kemas dan tepat. Dia memasuki keluarga politik penting Umno melalui perkahwinan (dan dia kini merupakan menantu PM Abdullah Badawi) – mungkin kerana dia faham sedikit sebanyaknya bahawa politik Umno dicirikan juga oleh unsur-unsur kewangsaan (dynastic).

 

Oleh kerana percaturan realpolitik dalam Umno sejak akhir-akhir ini biasanya memerlukan kedudukan kewangan yang agak kukuh di pihak pemimpin, maka Khairy juga tampaknya telah membuat persediaan diri yang agak rapi dari segi itu.

 

Penglibatannya dalam sepak terajang dunia korporat dan high finance, misalnya melalui jual beli saham institusi kewangan, memperlihatkan persediaannya dari segi itu. Melalui hubungan dan pautannya dengan pihak-pihak tertentu dalam parti pemerintah (khususnya Umno), maka jalur perjalanannya menuju kejayaan dalam bidang korporat itu menjadi amat lancar sekali.

 

Oleh kerana politik Umno dan BN pada asasnya masih merupakan politik perkauman yang kental, maka Khairy juga telah merekayasa pertumbuhan kerjaya politiknya dalam kerangka percaturan politik perkauman yang amat tebal itu.

 

Tahun lalu, umpamanya, dia telah mengundang kontroversi dan kemarahan di kalangan parti-parti perkauman rakan Umno dalam BN – khususnya MCA dan Gerakan – dengan pandangan perkaumannya sendiri yang amat tebal, yang mengkritik sikap dan dasar perkauman parti-parti rakan tersebut.

 

Sampai sekarangpun sebenarnya perbalahannya dengan parti-parti perkauman “rakan” itu masih belum selesai. Parti-parti itu telah menuntutnya memohon maaf secara terbuka, namun langkah yang demikian tentulah tidak cocok dengan gaya percaturan politik perkaumannya yang bernada kewiraan (heroic) itu.

 

Maka isu itupun tergantunglah begitu saja – meskipun komuniti kaum yang diwakili parti-parti tersebut secara diam amat membenci Khairy, malah menganggapnya sebagai musuh nombor satu.

 

Anggapan parti-parti kaum lain itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang terlalu memudaratkan bagi Khairy. Malah dalam kerangka kesedaran kelompok politik Umno, citra yang demikian itu dapat pula dimanfaatkan untuk menggarisbawahkan sifat kewiraan seseorang itu sebagai pejuang – “pembela Melayu” kononnya.

 

Upaya Khairy menonjolkan citra dirinya yang demikian itu tampaknya sudah agak berhasil juga.

 

Namun demikian, sesuai dengan kedudukannya kini sebagai Naib Ketua Pemuda Umno dia tampaknya masih lagi perlu mengekalkan citranya sebagai “pengiring” cuma kepada ketua pergerakan itu. Inilah citra yang dapat kita rasakan sewaktu melihat foto Khairy mengangkat tangan dengan penuh mengancam di sisi Hishamuddin Hussein.

 

Citra yang sama jugalah yang tertonjol bila kita melihat Khairy berdiri di sebelah ketuanya, dijulang oleh para peyokongnya yang berpakaian seragam, menjerit-jerit mengancam atau malah melempar kayu dan botol air kepada musuh politiknya di acara penamaan calon sebuah pilihanraya kecil.

 

Oleh kerana Hishamuddin Hussein sendiri bukanlah seorang pemimpin politik jenis visionary (berwawasan) dan berfikiran mendalam tentang isu-isu besar – maka citra Khairy yang terpancar setakat ini tentang jenis kepimpinannya sendiri (sewaktu berdiri sebagai pengiring Hishamuddin) hanyalah citra seorang pemimpin realpolitik jenis jalanan itu juga.

 

Berdasarkan tindak tanduknya setakat ini, tidaklah terasa banyak kemungkinan bahawa dia sedang berusaha membina ruang untuk berkembangnya ciri kepimpinan yang bersifat visionary dan berfikiran mendalam dari dirinya sendiri – sesuatu yang amat merunsingkan memandangkan latarbelakang pendidikannya yang telah kita perkatakan di atas.

 

Malah, bakat kepimpinannya dalam melaksanakan tindak tanduk berbentuk realpolitik jalanan (malah ada yang menyebutnya bersifat “samseng”), dikatakan sudah lebih berkesan daripada Hisahmuddin, dan bila-bila masa sahaja sudah boleh mengambil alih daripada ketuanya itu.

 

Hakikat inilah yang dilihat oleh banyak pemerhati sebagai arah jelek pertumbuhan Umno sejak akhir-akhir ini – sedangkan, menurut pandangan itu lagi, apa yang amat diperlukan oleh Pemuda (malah oleh Umno pada keseluruhannya) ialah pemikiran jitu lagi mendalam untuk menyesuaikan perjuangan politiknya dengan situasi yang sudah begitu berubah kini.

 

Sayangnya, Khairy sebagai pemimpin Pemuda yang paling berpotensi telah memilih (atau memang hanya itu kemampuannya) untuk memimpin aspek-aspek perjuangannya yang mengarah kepada persekongkolan dan tindak tanduk agresif yang bersifat rendahan itu sahaja.

 

Gerakan “Sedia Gempur” yang biadab, agresif, dan penuh persekongkolan dalam percaturan realpolitik Umno itu bolehlah dikatakan sebagai sesuatu yang dipimpin sendiri oleh Khairy. Jika terdapat perhimpunan yang memerlukan tindakan agresif lagi mengancam, maka Khairylah yang biasanya akan berada di garisan hadapan.

 

Dan segala kekerasan dan ancaman itu bukanlah pula dilakukan demi memancarkan pemikiran, wawasan dan sikap baru yang menyimpang daripada pemikiran pimpinan parti tetapi hanya sebagai sokongan tanpa perenungan terhadap pemikiran mereka (betapapun salah dan ketinggalan zamannya pemikiran mereka itu).

 

Banyak pihak yang menaruh harapan terhadap Pergerakan Pemuda Umno. Jika dipimpin dengan betul, badan itu memang berpotensi menjadi imbangan, malah cabaran, terhadap pelbagai kecacatan dalam kepimpinan induk Umno sendiri – seperti sewaktu di bawah pimpinan Syed Jaafar Albar maupun Harun Idris.

 

Malah gerakan itu boleh dijana kekuatannya sebagai pemancar ide-ide dan gagasan politik yang segar – seperti yang pernah dicoba oleh Anwar Ibrahim (dan sedikit sebanyaknya cuba diteruskan oleh Najib Razak) sewaktu memimpin pergerakan itu, misalnya.

 

Sayangnya, pergerakan itu kini lebih tertonjol citranya sebagai pergerakan yang bersifat agresif dari segi fisikalnya tetapi amat muram dari segi kecendekiawanannya – tidak ada bezanya daripada mundar mandir para mat rempit yang sedang cuba didampinginya.

Apa yang lebih menyedihkan ialah hakikat bahawa salah seorang pemimpin utama gerakan “jalanan” ini, dan yang mempunyai potensi besar pula, sesungguhnya mempunyai kelulusan dalam bidang PPE dari Oxford!

 

[Rencana ini diterbitkan juga sebagai kolum “Pandangan Rustam” dalam akhbar mingguan Siasah, Bil. 46: 9 Mei 2007].

One Response to Khairy Jamaluddin: Pemimpin rempit berkelulusan Oxford?

  1. Ainurislami Qlate says:

    Khairy Jamaluddin hampeh dan poyooo0….
    tak suka ker kawe tengok muka dia… nak vomit rasa…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: