Apa langkah Dolah sekarang?

May 3, 2007

Oleh Ahmad Zaki Yamani

Pilihanraya Ijok disifatkan oleh Abdullah Badawi sebagai penolakan rakyat terhadap keADILan dan Anwar Ibrahim. Jika ini beliau yakini sebagai hakikat dan kebenaran, maka sekarang adalah masa yang paling tepat untuk Abdullah membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihanraya Umum.

Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab hanya kepada kepentingan dan kemenangan Barisan Nasional, Abdullah tidak seharusnya membiarkan peluang ini berlalu. Beliau perlu segera mengadakan pilihanraya dan meraih kemenangan yang lebih besar daripada kemenangan terbesar yang dicapainya pada tahun 2004.

Kemenangan kali ini boleh lebih besar sekiranya peratusan keluar mengundi melebihi 80% seperti yang berlaku di Ijok.

Namun apakah ini hakikat yang berlaku di Ijok?

Abdullah tahu sebenarnya penolakan terhadap keADILan tidak berlaku di Ijok. Undi popular untuk keADILan meningkat 100% bagi Daerah Mengundi Pekan Ijok dan 50% di Batang Berjuntai berbanding 2004. Kedua-dua daerah ini mempunyai populasi pengundi Cina yang besar.

Di Daerah-daerah dengan populasi Melayu yang besar, keADILan tidak mencatatkan kemerosotan yang begitu besar. Apa yang berlaku ialah peningkatan jumlah keluar mengundi yang begitu besar sehingga memberikan kemenangan kepada BN di daerah-daerah ini kecuali Kampung Ijok yang tetap dimenangi oleh keADILan.

Bas-bas dari luar yang dipercayai membawa pengundi hantu juga dikesan di Bukit Badong, kawasan Melayu yang dimenangi keADILan pada 2004 dan kali ini dimenangi tipis oleh BN. Pada hari mengundi dua bas dari Perlis ditahan di Bukit Badong, dipercayai selepas penumpangnya ‘mengunjungi’ pusat pembuangan undi. Pada hari sebelumnya (27 April 2007, saya sendiri mengesan dua bas yang lain dari Pokok Sena, Kedah. Juga di Bukit Badong.

Bukit Badong adalah bersebelahan dengan Jaya Setia. Kedua-duanya mempunyai populasi Melayu yang besar dan kedua-dua daerah ini yang menjadi ‘upset’ utama kepada keADILan.

Saya percaya Abdullah maklum sepenuhnya bagaimana mereka menang di Ijok, yakni melalui penipuan. Sokongan rakyat tidak meningkat, malah semakin merosot kepada BN.

Kerana itu Abdullah tidak akan mengadakan pilihanraya dengan segera. Dalam keadaan sokongan masyarakat Cina kepada BN merosot teruk, BN tidak akan mampu melakukan penipuan dan mengadakan hantu di seluruh negara.

Bukan sahaja MCA dan Gerakan akan menghadapi kesan buruk, malah UMNO sendiri akan goyah dengan keadaan sekarang. Calon-calon UMNO bukan semata-mata bertanding di kawasan Melayu sahaja. Ramai juga yang bertanding di kawasan di mana kehadiran pengundi Cina adalah signifikan, seperti di Shah Alam misalnya.

Kerana itu UMNO, seperti pada 1999, bergantung kepada sokongan Cina untuk hidup. Kali ini, dalam keadaan keyakinan Melayu kepada kepimpinan ‘gigi longgar’ Abdullah sedang merosot, ketiadaan sokongan pengundi Cina akan membahayakan calon-calon UMNO sendiri.

Jadi, saya kira Abdullah perlu terus menunggu ilham.

 

Ahmad Zaki Yamani ialah EXCO Angkatan Muda Malaysia dan Ketua Penerangan keADILan Selangor.


Berakhirnya Keadilan?

April 30, 2007

Mingguan Malaysia 29 April menyiarkan berita muka depan dengan tajuk besar “Berakhirnya Keadilan?”

Teliti cara tajuk itu ditulis dan bagaimana keadilan ditulis.

Nampaknya Mingguan Malaysia cuba memberikan petunjuk bahawa dengan kemenangan BN, keadilan berakhir di Ijok dan kezaliman akan berleluasa di Ijok di bawah kepemimpinan K(aki) R(asuah) Parthiban.


Altantuya dan Ijok

April 22, 2007

Media arus perdana menyiarkan soalan Najib Razak mengenai apa kaitannya Altantuya dengan Ijok.

Hakikatnya Altantuya dikaitkan dengan Najib. Oleh kerana Najib meninggalkan tugas-tugas rasminya (apakah beliau mengambil cuti tanpa gaji) untuk berkempen pilihanraya (bukan tugas rasmi kerajaan) di Ijok, maka Altantuya mempunyai kaitan dengan Ijok.

Selagimana Najib berkampung di kemudahan Syabas di Ijok, selagimana wajah Najib tampil di program dan ceramah di Ijok, maka yang dilihat di wajah kepala botak Najib ialah Altantuya.

Ke mana sahaja Rosmah pergi, maka rakyat akan ingat kepada kezaliman yang dilakukan terhadap Altantuya.

Sebut sahaja Najib, lihat sahaja muka Najib orang ramai akan ingat kepada Altantuya, Razak Baginda, polis pengawal Najib yang dituduh membunuh dan yang paling besar ialah komisen RM500 juta yang dibayar atas arahan Najib kepada Razak Baginda kerana menguruskan pembelian kapal selam.

Itu, Najib, ialah kaitan antara Altantuya dan Ijok, malah kaitan Altantuya dengan Malaysia seluruhnya.

Selagimana kebenaran tidak didedahkan, keadilan tidak ditegakkan, rakyat akan ingat kepada Altantuya, Najib dan Rosmah.

Mungkin ini yang dikatakan cinta abadi… sampai habis hayat masih enggan berpisah.


Mutiara kata Khir Toyo

April 22, 2007

mutiara-kata-toto.jpg

Agen MB Selangor di Ijok?

Menteri Besar Selangor, Mohd Khir Toyo dilaporkan akhbar-akhbar arus perdana hari ini sebagai berkata bahawa jika BN menang dalam pilihanraya kecil DUN N11 Ijok nanti dia akan mengambil Ijok sebagai “kawasan angkat”nya.

Untuk itu dia akan melantik seorang agennya di kawasan ini — bagi meninjau dan memantau pembangunan kawasan ini.

Cakap apa ini, Wak? Kata suruh kita memberi sokongan penuh kepada K. Parthiban dari MIC — supaya dia jadi wakil rakyat kami. Kalau dia sudah dipilih menjadi wakil rakyat nanti, mengapa pula perlu ada agen lain?

Apakah Wak kurang yakin atas kemampuannya untuk membangunkan Ijok? Atau mewakili rakyat Ijok?

Atau Wak perlu menggula-gulakan seseorang dari Umno pula yang terkilan kerana tak terpilih menjadi calon wakil rakyat Ijok? Jika itu tujuannya, siapa yang akan bayar gajinya sebagai agen nanti — Umno, BN, dana peribadi MB, atau wang rakyat melalui kerajaan negeri?

Kalau agen MB itu suatu keperluan, mengapa dalam keadaan yang terdesak seperti sekarang ini baru difikirkan? Ertinya selama ini Ijok tidak mendapat perhatian kerajaan, walaupun wakil rakyatnya dari BN.

Tidakkah lebih baik kami memilih calon PKR sahaja. Sekurang-kurangnya Wak akan memberi perhatian kepada Ijok kerana tak senang duduk digodam Pak Khalid Ibrahim nanti.

Rakyat Ijok, masa untuk perubahan sudah tiba …

Pak Tam Ijok … sekadar agen insuran.


Pujuk dan Ugut di Ijok

April 17, 2007

Oleh Kamarul Baharin Abbas

Mula-mula Batu Talam, kemudian Machap, dan kini ke Ijok. Sesungguhnya, ada rasionalnya mengapa pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam. Sudah tentu ada perkiraannya juga mengapa DAP perlu bertanding di Machap. Dan kini, bukan calang-calang, Keadilan akan turun dan berkampung di Ijok.

Umum sudah jelas, bahawa Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) telah memilih jalan pilihanraya sebagai cara paling bertanggungjawab untuk menekankan perubahan yang wajib dalam negara ini. Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas, beliau segera berusaha dan bekerja memantapkan parti untuk menghadap proses demokrasi.

Namun, dalam proses mengamal demokrasi, hak berdemontrasi tidak pula dinafikan oleh Keadilan. Cuma tumpuan ke hadapan adalah pilihanraya, bukan lagi pilihan jalan raya, setelah kita melewati period baru perjuangan yang lebih teratur dan tidak berdasarkan sentimen.

Pilihanraya Kecil Ijok merupakan kesempatan kali ke tiga, dan barangkali juga yang terakhir sebelum kita berhadapan dengan Pilihanraya Umum. Di mata kita, tidak ada bezanya sama ada Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya daripada MIC, MCA, apatah lagi Umno di Ijok.

Batu Talam, pembangkang memutuskan untuk baikot dan tidak bertanding, dan kesannya cukup jelas. Bahkan, laporan penipuan pilihanraya yang dibuat oleh Biro Pilihanraya Keadilan yang diketuai Naib Presiden, Azmin Ali, tetap telah impak. Setidak-tidaknya, diperingkat antarabangsa, Perdana Menteri Abdullah Badawi tidak boleh lagi mendabik dada sebagai tokoh negarawan Islam antarabangsa kerana beliau tidak memperdulikan tuntutan rakyat supaya mengamalkan ketulusan dalam pentadbiran negara. Abdullah juga bukan seratus peratus ‘mulia’ selagi beliau masih belum serius menyiasat skandal yang melibatkan penipuan kad pengenalan kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah yang bertujuan memberi hak kepada mereka untuk menyelamatkan BN pada setiap kali pilihanraya.

Dalam tempoh terdekat juga, satu kumpulan parti-parti politik bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan satu badan pemantau, yang dikenali Badan Pilihanraya Adil dan Bebas (Bersih) bagi memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap telus dan tidak terus ditunggang BN.

Di Machap juga, buat pertama kalinya, sebuah badan pemantau pilihanraya yang dikenali sebagai Malaysian Free and Fair Election (Mafrel) diberi izin memantau pilihanraya kecil berkenaan. Pendapat awal sudah mendorong kepada berlakunya salahguna jentera dan khazanah kerajaan bagi membantu calon.

Kita dapat lihat di dalam keputusan di DUN Machap, bukan sahaja majoriti BN merosot, tetapi undi popular kepada calon MCA itu jatuh sebanyak 314 undi daripada 5,847 pada tahun 2004 kepada 5,533 dengan jumlah keluar mengundi masih di atas paras lebih 74 peratus. Pencapaian ini secara langsung menggambarkankan bahawa pengundi tidak semudah boleh dipengaruhi dengan rasuah dan janji-janji manis BN. Dalam konteks Machap yang dianggap sebagai kubu BN di ‘negeri keris berkarat’, perubahan undi popular itu tentunya memberi petanda baik untuk pembangkang, khususnya Keadilan untuk bertapak di Ijuk.

BN akan meraih sokongan dengan cara paling tidak bermaruah, iaitu menabur wang. Cara ini juga sekaligus adalah sebahagian daripada memperlekeh bukan sahaja undang-undang, tetapi juga mempersenda kebijaksanaan dan kebebasan rakyat untuk memilih parti dengan fikiran waras. Dalam dunia hari ini, hanya masyarakat yang mundur mentalitinya sahaja yang akan memilih parti dan pemimpin berdasarkan rasuah pilihanraya, dan mengenepikan kewarasan berfikir.

Pada 12 April lalu, DAP membuat laporan polis apabila mendapat perkhabaran bagaimana BN membeli pengundi dengan membayar wang tunai RM200 seorang. Betapa jijiknya mainan politik ini, dan betapa di mata pemimpin BN, harga diri pengundi begitu murah sekali. Baca sahaja berita bagaimana ada seorang pengundi berketurunan India yang khabarnya mengunakan wang tersebut hanya untuk menikmati makan malam KFC, sedangkan harta kekayaan negara yang dirompak pemimpin elit BN seolah-olah boleh menyara tujuh keturunan mereka tanpa bekerja!

BN dijangka akan terus cuba memukau orang kampung dengan menabur peruntukan berjuta-juta ringgit yang akan diluluskan di Ijok nanti, seperti berlaku di Machang. Jalan-jalan estate dan ladang akan diperbaiki, saluran peparitan akan dibersihkan, jalan raya akan diturap sertamerta. Sebenarnya kerja-kerja ini adalah janji-jani yang dibuat pada pilihanraya umum 2004 yang lalu, seperti janji Khir Toyo yang akan sering melawat selepas BN menang di Ijok. Memang rahmat bagi penduduk Ijok, pilihanraya kecil ini akan memaksa BN menunaikan janji-janji mereka. Muka-muka hipokrit BN tetap akan membuat pelbagai janji lagi.

Timbalan Perdana Menteri boleh secara tiba-tiba meluluskan peruntukan sejumlah RM3.7 juta kepada Felda Tun Ghafar Baba Hutan Percha di Macang tatkala tempoh kempen, maka tidak mustahil di Ijok nanti, Najib juga akan meluluskan jutaan ringgit untuk apa jua tujuan sekalipun. Mungkin, beliau akan membuka gugusan felda yang baru di Ijok, dan membina kawasan rekrasi untuk petani, peladang dan binatang-binatang liar dan ternakkan. Apa kah ini akan memberi kemenangan yang besar kepada BN? Nyata di Machang, BN tidak langsung dapat pertingkatkan majoriti kemenangan.

Selepas melalui sekurang-kurangnya dua Pilihanraya Umum, Keadilan kini cukup berpengalaman dalam berhadapan segala taktik kotor Umno-BN, daripada memeras ugut sampailah ke kalangan petugas Keadilan dibelasah sehingga rabak kepala. Demi itu jualah, Ijok segera membawa ingatan kita kepada kenangan manis di Lunas, Kedah pada tahun 2000. Sekalipun kali ini bukan untuk mengenepikan majoriti dua per tiga kerusi BN di Dewan Undangan Negeri Selangor, tetapi kejayaan sesungguhnya akan lebih bermakna sebagai permulaan kepada pertukaran pemerintahan negeri kepada sebuah parti yang nekat membawa perubahan.

Ayuh, ramai-ramai turun Ijok!


Khir Toyo sedia hadapi Tan Sri Khalid

April 13, 2007

Di dalam kesibukan kempen Machap, saya terlepas pandang satu laporan media mengenai kenyataan Khir Toyo bahawa BN bersedia menghadapi Tan Sri Khalid Ibrahim di Ijok. Lihat laporan Bernama.

Lazimnya kata orang, jika Menteri Besar atau orang besar BN sendiri membuat komen mengenai kesediaan menghadapi calon tertentu yang belum diumumkan oleh parti lawan sekalipun menandakan bahawa BN bimbang dengan calon tersebut.

Apakah benar begitu, Khir?


Kuasa di tangan masyarakat Ijok

April 7, 2007

Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Ijok akan diadakan tidak lama lagi. Ini adalah berikutan kematian ADUN Ijok, Datuk K. Sivalingam. Pilihanraya Kecil ini akan menjadi ujian penting kepada parti-parti pro-rakyat dan rakyat sendiri berhadapan dengan Barisan Nasional.

Pada Pilihanraya Umum 2004, Ijok ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat dan mendapat keputusan yang memberansangkan dengan meraih 39.21% undi popular. Apakah kali ini pencapaian itu boleh dipertingkatkan sehingga memberi kemenangan kepada calon keADILan atau PAS atau DAP?

BN dicabar di kerusi Ijok oleh DAP pada Pilihanraya Umum 1995 (16.60% undi popular) dan 1999 (30.33% undi popular), sementara pada Pilihanraya Umum 1990, Ijok adalah sebahagian DUN Seri Cahaya yang ditandingi oleh Semangat 46 dengan mendapat 42.17% undi popular.

DUN Ijok adalah satu daripada hanya beberapa kerusi yang menunjukkan peningkatan prestasi calon Alternatif pada Pilihanraya Umum 2004 berbanding Pilihanraya Umum 1999.

Sekarang terpulang kepada pengundi di Ijok apakah prestasi calon Alternatif akan dipertingkatkan lagi dalam Pilihanraya Kecil ini untuk menghantar wakil yang benar-benar berkaliber dan mampu memperjuangkan kepentingan masyarakat di Ijok dan anak Selangor amnya di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Kuasa kini berada di tangan masyarakat Ijok!