Program Pos Pilihanraya Ijok

April 30, 2007

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim bersama-sama pemimpin-pemimpin Barisan Rakyat akan berada di Ijok pada 1 Mei untuk program bersama masyarakat dan petugas pilihanraya.

Ia bermula dengan Hi-Tea di Pekan Ijok, Batang Berjuntai, Solat Maghrib di Bukit Badong, Solat Isya’ di Masjid Jaya Setia, Makan Malam di Markas PAS Batu 8 Ijok dan diakhiri dengan Ceramah Perdana di Markas PAS Batu 8 anjuran PAS Kawasan Kuala Selangor.


Strategi baru promosi keADILan

April 20, 2007

Kempen keADILan di Ijok menggunakan pendekatan baru untuk tujuan promosi calon. Papan tanda besar bersaiz 4′ x 8′ telah dinaikkan di tempat-tempat strategik di Ijok. Papan tanda atau billboard ini memuatkan gambar calon keADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa gambar lain.

b1.jpgb2.jpgb4.jpgb3.jpgb5.jpgb6.jpg


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

April 17, 2007

tsk.jpgtsk-2.jpg

Abdul Khalid Ibrahim dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram, Batu 20, Kuala Selangor dan merupakan anak watan kebanggaan penduduk di kawasan tersebut.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeram sekitar awal 1950an dan menduduki peperiksaan Special Malay Class. Khalid Ibrahim seterusnya menyambung pelajaran di sekolah Inggeris di Kampung Kuantan.

Beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dan lulus cemerlang dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi. Khalid Ibrahim kemudian memperolehi Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Queensland, Australia.

Khalid Ibrahim, anak jati Kuala Selangor, kini adalah Pengerusi Dana Amanah Millenia Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah Sirim Berhad. Beliau juga dilantik sebagai penasihat Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah.

Beliau adalah Ahli Lembaga, Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Ahli Kehormat Majlis Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Bekas guru dan pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi ini pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).

Di PNB, beliau adalah antara tenaga utama yang menjayakan Skim Amanah Saham Nasional dan kemudiannya Amanah Saham Bumiputra sehingga mampu memberikan pulangan yang baik kepada pelabur. Skim ini kemudiannya diperkembangkan kepada seluruh rakyat malaysia melalui pelbagai tabung lain.

Penduduk Kuala Selangor sering mengingati jasa Khalid Ibrahim yang mengusahakan pembinaan Pusat Latihan Penyelenggaraan Jentera Perindustrian dengan kerjasama UMW Berhad di Kuala Selangor. Pusat tersebut telah membantu memberi latihan kepada remaja miskin dari kawasan sekitar termasuk Ijok, sebelum diserapkan sebagai tenaga kerja di UMW Berhad. Pusat tersebut mula beroperasi dari tahun 1994 sehingga kini.

Khalid Ibrahim juga memperkenalkan Program Rakan Jaya Diri yang khusus untuk melatih pelajar-pelajar yang tercicir dari persekolahan. Mereka diberi peluang latihan dalam kerja di Guthrie Berhad dan diajar kemahiran komunikasi dan kemahiran asas pejabat bagi memudahkan mereka diserapkan berkerja di mana-mana syarikat.

Kedua-dua program ini memberi sumbangan bermakna kepada meningkatkan taraf kehidupan penduduk sekitar Kuala Selangor termasuk Ijok.

Atas kesedaran bahawa negara dan negeri Selangor sendiri berada di dalam keadaan yang parah akibat penyelewengan, korupsi dan salahguna kuasa yang berleluasa; Khalid Ibrahim mengambil keputusan bahawa keadaan mesti diperbetulkan melalui perubahan politik.

Kerana itu, Khalid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2006 dan dilantik sebagai Bendahari Agung dan kemudiannya Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor. Pada tahun 2007, beliau telah dipilih sebulat suara oleh ahli-ahli parti di Bahagian Kuala Selangor sebagai Ketua Bahagian.

Usaha menaikkan taraf hidup rakyat dan pendidikan anak-anak muda adalah keutamaan Khalid Ibrahim. Pengalaman beliau sendiri yang membesar di dalam suasana kampung di Kuala Selangor, membolehkan Khalid Ibrahim memahami kepentingan pendidikan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Ijok, beliau akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk Ijok dengan memperkenalkan program-program ekonomi dan sosial, dengan penekanan khusus kepada maju diri dan pendidikan belia — supaya Ijok dan seluruh warganya menjadi contoh kepada negeri Selangor dan seluruh Malaysia.

Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan beliau, Khalid Ibrahim yakin akan dapat memainkan peranan berkesan, dengan sokongan rakyat, untuk menjayakan misi ini.


Ijok sesak untuk pengumuman

April 17, 2007

Sebentar lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat pengumuman rasmi calon keADILan di Pilihanraya Kecil Ijok.

Keadaan di Pekan Ijok dan Batang Berjuntai kini sesak dengan ribuan kenderaan. Keadaan lebih diburukkan kerana projek-projek segera membaiki jalan sedang dijalankan oleh JKR dari seluruh negara.

Pengumuman akan dibuat di Bilik Gerakan keADILan Batang Berjuntai.

9.55 pm

Sudah lebih 5 ribu orang berkumpul di tapak pasar malam Batang Berjuntai untuk mendengar pengumuman calon keADILan di Ijok oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sambutan adalah amat menggalakkan termasuk daripada masyarakat Tionghua dan India.


Ribut di Bukit Badong

April 15, 2007

Semalam (14 April 2007) maklumat telah diterima bahawa Bukit Badong (satu kawasan di dalam DUN Ijok dengan kira-kira 2,000 pengundi) telah dilanda ribut.

keADILan Selangor telah menghantar petugas dan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana di sana.


Khir Toyo sedia hadapi Tan Sri Khalid

April 13, 2007

Di dalam kesibukan kempen Machap, saya terlepas pandang satu laporan media mengenai kenyataan Khir Toyo bahawa BN bersedia menghadapi Tan Sri Khalid Ibrahim di Ijok. Lihat laporan Bernama.

Lazimnya kata orang, jika Menteri Besar atau orang besar BN sendiri membuat komen mengenai kesediaan menghadapi calon tertentu yang belum diumumkan oleh parti lawan sekalipun menandakan bahawa BN bimbang dengan calon tersebut.

Apakah benar begitu, Khir?


Maklumat DUN Ijok (N.11)

April 12, 2007

Terdapat 9 daerah mengundi dengan 12,272 pengundi pendaftar di Ijok seperti yang dikemaskini pada 4 April 2007.

12,233 adalah pemilih awam dan 39 orang pemilih pos. Pengundi Melayu sebanyak 51.04 peratus, India 28.16 peratus dan Cina 20.59.

Peta Ijok: peta-ijok.jpg