Semangat Ijok

May 29, 2007

Blog ini kini dinamakan Semangat Ijok. Daripada sekadar menjadi blog untuk melaporkan perkembangan Pilihanraya Kecil Ijok yang lalu, kini ia berfungsi sebagai penyebar maklumat mengenai perubahan besar yang sedang diusahakan bertolak daripada pilihanraya kecil itu.

Advertisements

Program Pos Pilihanraya Ijok

April 30, 2007

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim bersama-sama pemimpin-pemimpin Barisan Rakyat akan berada di Ijok pada 1 Mei untuk program bersama masyarakat dan petugas pilihanraya.

Ia bermula dengan Hi-Tea di Pekan Ijok, Batang Berjuntai, Solat Maghrib di Bukit Badong, Solat Isya’ di Masjid Jaya Setia, Makan Malam di Markas PAS Batu 8 Ijok dan diakhiri dengan Ceramah Perdana di Markas PAS Batu 8 anjuran PAS Kawasan Kuala Selangor.


Ezam mula kempen Ijok malam ini

April 20, 2007

Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor telah mengesahkan bahawa belaiu bersedia untuk berkempen setiap hari di Ijok bermula hari ini (20 April 2007) sehingga hari mengundi.

Beliau tidak dapat bersama pada hari penamaan calon kerana keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

Ketika dihubunyi Ijok2007, Ezam mengatakan bahawa, “bermula malam ini, saya boleh turun ke Ijok setiap hari.”

Nantikan gandingan hebat Anwar-Ezam!


Rayuan untuk Ijok

April 20, 2007

Oleh Ahmad Zaki Yamani

Seluruh ahli, aktivis dan penyokong Parti Keadilan Rakyat serta seluruh rakyat Malaysia yang mahu menghentikan hegemoni dan sikap bermaharajalela Barisan Nasional dirayu untuk segera menyalurkan bantuan tenaga kerja dan dana bagi menjayakan kempen Pilihanraya Kecil Ijok.

Perayu undi dan tenaga kempen rumah ke rumah diharap dapat melaporkan diri untuk bertugas Sabtu dan Ahad (21 dan 22 April) melalui Perhubungan Negeri masing-masing. Wanita khususnya adalah sangat-sangat diperlukan.

Bantuan hendaklah diuruskan melalui Perhubungan Negeri masing-masing yang telah ditugaskan kepada Daerah-daerah Mengundi tertentu.

Kempen rumah ke rumah adalah sangat kritikal untuk memastikan mesej keadilan dapat disampaikan kepada setiap pengundi secara terus. Hanya dengan maklumat yang lengkap dan adil pengundi akan dapat membuat keputusan setepatnya untuk mengundi keADILan.

BN melakukan propaganda setiap hari melalui media massa, tetapi kita tidak mempunyai akses tersebut. Maka kita tidak ada pilihan selain kempen muka ke muka.

Terima kasih.


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

April 17, 2007

tsk.jpgtsk-2.jpg

Abdul Khalid Ibrahim dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram, Batu 20, Kuala Selangor dan merupakan anak watan kebanggaan penduduk di kawasan tersebut.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeram sekitar awal 1950an dan menduduki peperiksaan Special Malay Class. Khalid Ibrahim seterusnya menyambung pelajaran di sekolah Inggeris di Kampung Kuantan.

Beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dan lulus cemerlang dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi. Khalid Ibrahim kemudian memperolehi Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Queensland, Australia.

Khalid Ibrahim, anak jati Kuala Selangor, kini adalah Pengerusi Dana Amanah Millenia Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah Sirim Berhad. Beliau juga dilantik sebagai penasihat Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah.

Beliau adalah Ahli Lembaga, Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Ahli Kehormat Majlis Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Bekas guru dan pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi ini pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).

Di PNB, beliau adalah antara tenaga utama yang menjayakan Skim Amanah Saham Nasional dan kemudiannya Amanah Saham Bumiputra sehingga mampu memberikan pulangan yang baik kepada pelabur. Skim ini kemudiannya diperkembangkan kepada seluruh rakyat malaysia melalui pelbagai tabung lain.

Penduduk Kuala Selangor sering mengingati jasa Khalid Ibrahim yang mengusahakan pembinaan Pusat Latihan Penyelenggaraan Jentera Perindustrian dengan kerjasama UMW Berhad di Kuala Selangor. Pusat tersebut telah membantu memberi latihan kepada remaja miskin dari kawasan sekitar termasuk Ijok, sebelum diserapkan sebagai tenaga kerja di UMW Berhad. Pusat tersebut mula beroperasi dari tahun 1994 sehingga kini.

Khalid Ibrahim juga memperkenalkan Program Rakan Jaya Diri yang khusus untuk melatih pelajar-pelajar yang tercicir dari persekolahan. Mereka diberi peluang latihan dalam kerja di Guthrie Berhad dan diajar kemahiran komunikasi dan kemahiran asas pejabat bagi memudahkan mereka diserapkan berkerja di mana-mana syarikat.

Kedua-dua program ini memberi sumbangan bermakna kepada meningkatkan taraf kehidupan penduduk sekitar Kuala Selangor termasuk Ijok.

Atas kesedaran bahawa negara dan negeri Selangor sendiri berada di dalam keadaan yang parah akibat penyelewengan, korupsi dan salahguna kuasa yang berleluasa; Khalid Ibrahim mengambil keputusan bahawa keadaan mesti diperbetulkan melalui perubahan politik.

Kerana itu, Khalid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2006 dan dilantik sebagai Bendahari Agung dan kemudiannya Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor. Pada tahun 2007, beliau telah dipilih sebulat suara oleh ahli-ahli parti di Bahagian Kuala Selangor sebagai Ketua Bahagian.

Usaha menaikkan taraf hidup rakyat dan pendidikan anak-anak muda adalah keutamaan Khalid Ibrahim. Pengalaman beliau sendiri yang membesar di dalam suasana kampung di Kuala Selangor, membolehkan Khalid Ibrahim memahami kepentingan pendidikan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Ijok, beliau akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk Ijok dengan memperkenalkan program-program ekonomi dan sosial, dengan penekanan khusus kepada maju diri dan pendidikan belia — supaya Ijok dan seluruh warganya menjadi contoh kepada negeri Selangor dan seluruh Malaysia.

Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan beliau, Khalid Ibrahim yakin akan dapat memainkan peranan berkesan, dengan sokongan rakyat, untuk menjayakan misi ini.


RASMI: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim calon keADILan di Ijok

April 17, 2007

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat pengumuman rasmi di hadapan lebih 5 ribu orang yang berhimpun di tapak pasar malam Batang Berjuntai, berdekatan Bilik Gerakan keADILan di Batang Berjuntai bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah calon keADILan bagi Pilihanraya Kecil DUN N.11 Ijok.

Beliau meminta seluruh jentera dan penyokong parti untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan keADILAn dan merayu setiap pengundi di Ijok untuk keluar mengundi dan memberikan kepercayaan kepada Khalid Ibrahim untuk menjadi wakil mereka.


Harakah: keADILan bincang calon pilihanraya kecil Ijok Ahad ini

April 14, 2007
Harakahdaily.net
Ahmad Tajdid
Fri | Apr 13, 07 | 09:41:33 PM
ALOR SETAR, 13 April (Hrkh) – Majlis Tertinggi Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) akan bermesyuarat Ahad ini bagi membincangkan senarai calon bagi mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Ijok, kata Penasihatnya, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Sekretariat Pilihan Raya Barisan Rakyat yang menggabungkan jentera pilihan raya PAS dan KeADILan Kedah di sebuah hotel dekat sini, Anwar berkata, beliau baru dihubungi oleh Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung perkembangan tersebut.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pemilihan siapa yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu tidak menjadi isu utama, tetapi masalah penipuan dan penyelewengan dalam pilihan raya akan menjadi tumpuan KeADILan dan Barisan Alternatif (BA).

Ditanya mengapakah KeADILan mahu meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu sedangkan sebelum ini menyokong tindakan PAS memulaukan pilihan raya kecil Dun Batu Talam, Pahang, beliau berkata pada dasarnya KeADILan menyokong tindakan memulaukan pilihan raya bagi memberi mesej jelas kepada rakyat tentang kepincangan proses pilihan raya negara.

“Bagaimanapun kita berpendapat, dengan menyertai pilihan raya kecil ini, ia adalah masa yang sesuai untuk menjelaskan pendirian kita kepada pengundi,” ujarnya.

Anwar turut menolak persepsi bahawa BA tidak konsisten dalam usaha memboikot pilihan raya kerana PAS sendiri tidak menetapkan pendirian untuk terus memboikot pilihan raya selepas berbuat demikian di Batu Talam.

Menurutnya, tuntutan BA terhadap pilihan raya yang bebas dan adil adalah jelas dan usaha-usaha sedang dibuat ke arah itu.

Malah katanya, kempen-kempen yang dilakukan di peringkat antarabangsa menyebabkan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk membersihkan senarai pemilih.